35,618 pandu lebihi had laju

PUTRAJAYA 7 Mei – Sebanyak 35,618 pemandu dikesan memandu melebihi had laju di hadapan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) dalam tempoh tujuh hari Ops Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2022 di seluruh negara.

Jumlah yang direkodkan setakat semalam itu membabitkan 0.75 peratus daripada 4.7 juta kenderaan melewati 29 kamera AwAS yang dipasang bagi memantau kesalahan terbabit.

Sepanjang tempoh sama, sejumlah 10,355 pemandu atau 0.66 peratus daripada 1.5 juta kenderaan lagi, direkodkan melanggar lampu isyarat merah menerusi 16 kamera AwAS yang dipasang bagi mengesan kesalahan itu seluruh negara.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataannya, berkata tidak mematuhi had laju dan melanggar isyarat lampu melalui kamera AwAS adalah di antara lima kesalahan utama dalam tempoh Ops HRA 2022 yang akan dikenakan tindakan mahkamah dan tidak boleh dikompaun.

Sekiranya disabitkan bagi setiap kesalahan itu, pemandu berkenaan boleh didenda sehingga RM2,000 mengikut Seksyen 79, Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pemandu atau pengguna jalan raya yang melakukan kedua-dua kesalahan ini, akan direkodkan dengan tindakan sehingga empat mata demerit berjadual di bawah Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) bagi setiap kesalahan mengikut Subseksyen 40(1) atau Subseksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, sistem mata demerit ini akan memberi kesan kepada penggantungan atau pembatalan lesen memandu.

Katanya, pelaksanaan kamera AwAS ini bertujuan meningkatkan pematuhan terhadap had laju dan lampu isyarat serta mengurangkan jumlah kemalangan dan kematian di jalan raya.

JPJ turut menyeru pengguna jalan raya supaya terus mematuhi peraturan ditetapkan bagi menjamin keselamatan seterusnya mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya.

Jelasnya, penguatkuasaan secara pengesanan teknologi digital ini telah dipraktikan di peringkat antarabangsa yang terbukti efektif dalam meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dam adapat meningkatkan reputasi negara setaraf dengan negara maju lain.

Operasi HRA 2022 dilaksanakan bermula 29 April sehingga 8 Mei dengan slogan Pandu Cermat dan Selamat Sampai Ke Destinasi.

Related posts

Leave a Comment