Satu lawan satu di PRK Sungai Bakap

NIBONG TEBAL 22 Jun – Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) pada 6 Julai ini.

Pengurus Pilihan Raya, Khairulnizam Hashim, ketika mengumumkan demikian berkata, pihaknya hanya menerima pencalonan calon PH, Joohari Ariffin, 60, dan calon PN, Abidin Ismail, 56.

Beliau berkata, semakan mendapati kedua-dua calon itu layak bertanding dan tiada bantahan diterima daripada mana-mana pihak.

Terdahulu proses penyerahan borang pencalonan berakhir pukul 10 pagi di Dewan Serbaguna Jawi di sini.

Joohari yang mewakili PH adalah bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, manakala Abidin yang mewakili PN adalah bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal.

Sementara itu Joohari tiba di pusat penamaan calon diiringi ratusan penyokong dan pimpinan PH termasuk Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng,  Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Manakala pemimpin Pas yang hadir memberi sokongan kepada Abidin adalah Presiden,  Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden,  Tuan Ibrahim Tuan Man dan  Setiausaha Agung, Takiyuddin Hassan.

Turut hadir Presiden Gerakan Dr Dominic Lau, Naib Presiden Bersatu  Dr Radzi Jidin dan Menteri Besar Kedah merangkap Pengarah Pilihan Raya PN,  Muhammad Sanusi Md Noor.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya setakat 24 Mei lalu, sejumlah 39,279 orang layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK itu membabitkan 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Seramai 552 petugas dilantik bagi mengendali proses PRK itu manakala lebih 600 anggota polis ditugaskan untuk menjaga keselamatan.

Pada Pilihan Raya Negeri yang diadakan Ogos  lalu, kerusi N20 Sungai Bakap dimenangi oleh Nor Zamri, yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, selepas menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Ini adalah PRK kelapan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu) dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor).

Nnnn

Related posts

Leave a Comment