Boleh bersalam, pelitup tidak wajib

PUTRAJAYA 27 April – Pemakaian pelitup muka di luar bangunan tidak lagi diwajibkan, bermula Ahad ini, 1 Mei, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun pemakaian pelitup muka digalakkan di luar bangunan, terutama di kawasan sesak seperti bazar Ramadan, pasar malam serta stadium.

Selain itu, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan apabila berada di dalam bangunan, termasuk gedung beli belah dan pengangkutan awam, termasuk e-hailing.

Katanya, penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan peraturan-peraturan di bawahnya akan dikenakan ke atas individu yang gagal mematuhi arahan pemakaian pelitup muka.

Mulai hari yang sama larangan bersalam ditarik balik.

Khairy juga mengumumkan kerajaan tidak lagi mewajibkan orang ramai membuat imbasan kod QR menerusi aplikasi MySejahtera apabila memasuki premis atau tempat awam lain, berkuat kuasa hari yang sama.

Bagaimanapun,  orang awam disarankan supaya mengaktifkan fungsi MySJ Trace bagi pengesanan kontak.

Pihak pengurusan premis hendaklah menyemak status risiko individu dalam aplikasi MySejahtera yang memasuki premis.

Individu dengan status ‘High Risk’ (Risiko Tinggi) pada aplikasi MySejahtera iaitu kes positif Covid-19 dan individu yang diberi arahan Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO) tidak dibenarkan masuk ke premis.

Aplikasi MySejahtera masih lagi penting untuk digunakan antara lain bagi tujuan pelaporan keputusan ujian pengesanan Covid-19 dan arahan HSO.

“Ia juga penting untuk membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pencegahan dan kawalan Covid-19,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Related posts

Leave a Comment