PH kekal induk pembangkang

SHAH ALAM 16 Julai – Pakatan Harapan (PH) akan kekal sebagai induk pembangkang terkuat, tetapi masih terbuka untuk membina jaringan dengan semua parti yang sealiran dari segi dasarnya.

Presiden PKR yang juga Pengerusi PH, Anwar Ibrahim berkata, PKR akan tetap memperkukuh hubungannya dengan DAP, Amanah serta UPKO terutama dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Kita akan tetap bersama Amanah , DAP dan UPKO. Kita perkuatkan PH dan kita tentunya akan terus membina jaringan dalam kalangan parti-parti pembangkang.

Walaupun kadang-kadang ada ketegangan rakan-rakan dalam parti, ini hanya salah faham. Anwar adalah Presiden PKR (dan) Pengerusi PH, tetapi saya juga ketua pembangkang dalam Parlimen.

“Maknanya jaringan dan huhungan kerja serat akrab, seharusnya perlu berlaku dengan semua parti pembangkang. Saya tidak layan kenyataan yang banyaknya dari pejuang yang berdolak dalih. Itu kita akan hadapi dengan tenang,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden PKR pada Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) di sini, hari ini.

Konvensyen melibatkan 2,665 perwakilan hari ini turut dihadiri Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke serta Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden UPKO, Wilfred Madius Tangau.

Anwar berkata PH mengakui kelemahannya yang gagal menarik sokongan rakyat di luar bandar untuk menyokong perjuangan mereka.

“Kita akui kelemahan kita. Kurang upaya untuk menerobos masuk ke kawasan desa yang majoriti Melayu untuk kita berikan penjelasan.

“Mesyuarat pertama dengan kepimpinan baharu (PKR) ini akan dijadikan keutamaan termasuk juga bersama Anthony, Mohamad dan kita akan bicara lebih mendalam hal ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR perlu memimpin kerajaan bagi menyelamatkan rakyat dan negara dengan memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, Keadilan membuat kongres tahunan untuk terus mengukuhkan parti dan memperkuat Pakatan Harapan serta menjana seluruh kekuatan baharu untuk PRU15.

“Masuk PRU dengan matlamat jelas untuk menang dan memimpin kerajaan baru demi menyelamatkan rakyat dan negara. Masuk PRU15 untuk menang bukan untuk jadi pembangkang.

“Membiarkan kerajaan yang ada sekarang terus berkuasa dan kita menunggu PRU untuk membiarkan kerajaan sekarang berkuasa adalah satu malapetaka besar,” katanya.

Menurut Saifuddin, kongres kali ini akan mengikhtiarkan kesedaran memastikan kemenangan tersebut dengan hala tuju lebih jelas.

Related posts

Leave a Comment