40,000 tan metrik sisa domestik KL

KUALA LUMPUR 27 April – Sebanyak 40,000 tan metrik sisa domestik dikutip di bandar raya ini pada hari ke-20 Ramadan tahun ini, meningkat berbanding 32,000 tan metrik tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), Mohd Zain Hassan, berkata kutipan tahun ini adalah yang tertinggi bagi tempoh empat tahun sejak 2019.

Katanya, peningkatan itu sudah dijangka berikutan Bazar Ramadan beroperasi seperti biasa seterusnya menerima lebih ramai pengunjung.

Kutipan sisa domestik di Kuala Lumpur tahun 2020 adalah 27,000 tan metrik dan pada 2019 jumlahnya adalah 33,000 tan metrik.

“Penjanaan sisa domestik dijangka berterusan dan meningkat sehingga minggu pertama Aidilfitri kerana kebanyakan sektor sudah pun dibenarkan beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sisa makanan yang tidak dihabiskan atau tidak disentuh, termasuk bahan pembungkus seperti beg plastik sekali guna antara penyumbang utama peningkatan jumlah sisa pepejal di Kuala Lumpur.

Alam Flora akan terus melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan tanpa mengira masa dan tempat tetapi memerlukan kerjasama semua pihak untuk membantu menjaga kebersihan di kawasan masing-masing.

“Sebagai contoh, sisa kitar semula perlu diasingkan, diikat dengan kemas dalam beg plastik yang sesuai dan diletakkan di tepi tong pada hari kutipan untuk barangan kitar semula selaras dengan program pengasingan sisa daripada punca oleh kerajaan,” katanya.

Alam Flora memohon kerjasama orang ramai untuk menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Alam Flora di talian 1-800-88-7472 yang beroperasi setiap hari dari pukul 8 pagi sehingga 8 malam untuk berkongsi maklumat tahap kebersihan di kawasan masing-masing.

Related posts

Leave a Comment