Molnupiravir ubat antivirus kedua lulus

SINGAPURA 19 April – Ubat antivirus molnupiravir menjadi pil kedua yang diluluskan di Singapura untuk merawat pesakit dewasa Covid-19, demikian menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) hari ini.

Kelulusan sementara itu diberikan di bawah Laluan Akses Khas Pandemik (PSAR) bagi pil Lagevrio yang dihasilkan syarikat MSD.

Molnupiravir yang dipasarkan sebagai Lagevrio diluluskan untuk pesakit Covid-19 berusia 18 tahun dan ke atas, yang mengalami gejala ringan hingga sederhana tetapi berisiko menjadi lebih teruk atau perlu dimasukkan ke hospital.

Ia juga bagi mereka yang “tidak layak untuk rawatan alternatif Covid-19.

Pada Februari, Singapura meluluskan penggunaan pil Paxlovid keluaran Pfizer bagi rawatan Covid-19 untuk pesakit dewasa yang berisiko mengalami penyakit serius. 

Lagevrio harus diambil dalam masa lima hari selepas gejala dikesan, selama tempoh lima hari, ia akan diberikan kepada mereka yang mempunyai risiko lebih tinggi mengalami penyakit teruk, seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (MoH). 

Lagevrio didapati boleh mengurangkan risiko Covid-19 yang teruk sebanyak 30 peratus dan risiko perlu dimasukkan ke hospital atau  kematian sebanyak 6.8 peratus.

Bagaimanapun Lagevrio tidak disyorkan bagi wanita hamil, wanita yang menyusu dan mereka yang berusia bawah 18 tahun.

Kesan sampingan biasa Lagevrio yang dilaporkan dalam kajian klinikal termasuk cirit-birit, rasa loya dan pening kepala yang lazimnya ringan. 

Sementara itu, Singapura meluluskan ujian klinikal untuk mengkaji penggunaan ubat traditional Cina Lianhua Qingwen bagi merawat pesakit dewasa Covid-19 dengan gajala  ringan. 

Kajian yang diluluskan pada 18 Januari itu diusulkan oleh Institut Perubatan Chung Hwa Singapura dan seramai 300 orang berusia 21 hingga 79 tahun akan terlibat dalam ujian tersebut,

Related posts

Leave a Comment