Kerjasama perubahan iklim

SINGAPURA 19 April – Singapura dan New Zealand akan bekerjasama dalam perubahan iklim dan ekonomi hijau, sebagai sebahagian daripada perkongsian yang dipertingkatkan, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Sebagai permulaan, bidang-bidang yang ditumpukan termasuk pasaran karbon, pengangkutan yang mampan dan pengurusan sisa.

Ini diumumkan semasa lawatan Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern ke Singapura – lawatan ke luar negara pertamanya sejak pandemik Covid-19 bermula.

“Kita memerlukan kerjasama yang lebih kukuh dalam kalangan negara-negara untuk melindungi masyarakat dan tempat yang paling mudah terjejas di planet kita. Pada masa yang sama, Kita melihat peluang-peluang untuk bekerjasama secara praktikal apabila kami mengguna pakai teknologi rendah karbon dan hijau.

“Teras kerjasama baru ini mencerminkan komitmen kita bersama untuk melaksanakan Perjanjian Paris dan bekerjasama untuk merebut peluang pertumbuhan dalam ekonomi hijau,” ujar Lee.

Sementara itu Jacinda Ardern percaya kerjasama dengan Singapura akan menyumbang kepada peralihan ke arah ekonomi rendah karbon yang perlu dilaksanakan pada tahun-tahun mendatang kerana kedua-dua negara berusaha untuk memenuhi komitmen Perjanjian Paris.

“Kita tidak boleh secara kolektif setakat mengubah semula pendekatan kita kepada perniagaan bercorak tinggi pelepasan karbon sebagai satu pendekatan biasa. Di peringkat sejagat kita sudah memasuki zaman tindakan dan itu termasuk sektor privet juga.

“Tiada pemerintah yang boleh melakukannya bersendirian. Ia memerlukan usaha sama yang kuat. Dan saya tahu delegasi perniagaan yang mengiringi saya bersetuju mengenai perkara ini,” katanya.

Sempena lawatan itu, Lee menyerahkan bunga anggerik yang dinamakan Dendrobium Jacinda Ardern kepada Perdana Menteri New Zealand itu.

(Foto FB Lee Hsien Loong)

Related posts

Leave a Comment