Siapa terajui PAP hadapi PRU

SINGAPURA 16 April – Keputusan sama ada Perdana Menteri Lee Hsien Loong atau Menteri Kewangan Lawrence Wong akan menerajui Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam pilihan raya umum (PRU) seterusnya akan diputuskan kemudian.

Lee yang juga Setiausaha Agung PAP, berkata, beliau akan berbincang dengan Lawrence dan  memutuskannya kelak tentang strategi terbaik untuk mereka bertanding dalam PRU seterusnya.

“Sama ada untuk saya serahkan kepadanya dahulu – beliau mengukuhkan kedudukannya, beliau memimpin pasukan ke pilihan raya umum seterusnya. Ia jelasnya adalah pasukan 4G dan (mereka) akan bertanggungjawab selepas PRU  berikutnya.

“Atau saya menyertai pilihan raya umum seterusnya dan menerajui PAP, bertanding dalam pilihan raya seterusnya, menang. Jika kami menang selepas itu, Lawrence ambil alih dan kemudian, pasukan 4G akan meneruskan langkah maju ke hadapan,” katanya pada satu sidang media.

Khamis lalu, Lee mengumumkan Lawrence Wong sebagai Perdana Menteri seterusnya.

Lee, menyatakan dalam satu kenyataan bahawa para menteri Kabinet mengesahkan Wong sebagai pilihan mereka selaku pemimpin pasukan generasi keempat (4G).

Sebanyak 15 daripada 19 “pihak berkepentingan” yang diminta pendapat mereka memilih Wong untuk memimpin pasukan 4G.

Pihak-pihak berkepentingan tersebut terdiri daripada para menteri Kabinet sedia ada serta juga Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin dan Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng. Pandangan daripada Perdana Menteri dan dua Menteri Kanan bagaimanapun tidak diminta.

Pilihan Raya Umum seterusnya mesti diadakan selewat-lewatnya sebelum 2025.

“Apa juga keputusannya, rancangan kami adalah untuk menjadikan Lawrence PM seterusnya jika… PAP menang dalam GE akan datang. Itu sudahpun dimuktamadkan,” kata Lee.

Related posts

Leave a Comment