Kembali kepada lima angka

PUTRAJAYA 14 April – Selepas tiga hari bertahan dengan empat angka, Malaysia kembali mencatatkan lima angka dengan 10,052 kes baharu Covid-19 semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes setakat ini sebanyak 4,352,611.

Rekod tiga hari sebelum ini adalah 9,002 (12 April), 7,739 (11 April), 8,112 (10 April) dan sebelum itu 10,177 (9 April).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, sebanyak 10,031 daripada kes yang dilaporkan adalah penularan tempatan dan 21 kes import manakala bilangan kes aktif setakat tengah malam tadi adalah sebanyak 120,593.

Daripada jumlah itu, 9,987 kes (99.35%) adalah dalam kategori satu dan dua manakala 65 kes (0.65%) lagi dalam kategori tiga, empat dan lima.

Katanya, daripada 65 kes Covid-19 kategori tiga, empat dan lima yang baharu dilaporkan pada 13 April 2022, sebanyak 21 kes (32.31%) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi dan 18 kes (27.69%) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak (booster).

Sementara itu, 26 kes (40.00%) telah menerima dos penggalak (booster), 33 kes (50.77%) berumur 60 tahun dan ke atas, 36 kes (55.38%) mempunyai komorbid dan satu kes (1.54%) ibu mengandung.

Sebanyak 161 kes dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dengan 99 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kes sembuh pula adalah sebanyak 15,893.

Semalam, tiga kluster baharu direkodkan, dengan 113 kluster masih aktif.

Related posts

Leave a Comment