Umpama banjir besar 1971

KUALA LUMPUR 19 Dis. – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menyifatkan senario banjir yang melanda ibu negara malam tadi, seolah-olah sama dengan banjir besar yang berlaku pada 1971.

Baginda bertitah, selepas 50 tahun peristiwa itu, rakyat Malaysia perlu mengambil teladan untuk bersiap sedia terutama pada Disember dan Januari, yang memperlihatkan impak banjir yang seperti berulang.

“Saya masih meninjau keadaan semasa ke semasa dan dalam pada itu, mengingatkan semua supaya terus bersabar dan terima (musibah banjir) dengan keredaan Allah.

“Jaga kesihatan dan anak-anak semua,” titah baginda selepas membuat lawatan peribadi menziarahi mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, pagi tadi.

Dalam lawatan baginda pada jam 11.30 pagi itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa dan berpesan supaya terus bersabar dengan keadaan yang berlaku.

Baginda juga berharap pihak kerajaan dapat menghulurkan bantuan sebaik mungkin kepada semua mangsa banjir yang terbabit.

Related posts

Leave a Comment