Kekuatan DAP hasil usaha Kit Siang

KUALA LUMPUR 13 April – Kekuatan DAP pada hari ini adalah hasil titik peluh Lim Kit Siang yang membina asas yang kuat untuk parti sejak tahun 1966, kata Setiausaha Agung keenam parti itu, Anthony Loke Siew Fook.

Katanya, bekas Setiausaha Agung DAP (selama 30 tahun) itu tidak pernah berputus asa mahupun mengalah dalam perjuangan untuk membina kekuatan parti dalam keadaan yang begitu sukar.

“Bayangkan, 50 tahun yang lalu iaitu, keadaan pada ketika itu tentulah amat mencabar untuk kerja-kerja pengembangan parti di seluruh negara,” katanya.

Kit Siang bukan sahaja berhadapan keadaan fizikal yang mencabar, tetapi persekitaran politik yang begitu menekan termasuk kemungkinan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Sekiranya kita merasakan apa yang kita hadapi sekarang adalah sukar, bayangkan apa yang pernah dilalui oleh Kit Siang dalam tempoh lebih 50 tahun yang lalu,” katanya pada Majlis Makan Malam Menghargai Sumbangan Kit Siang malam tadi.

Loke yang menyingkap kembali bagaimana mula mengenali Kit Siang berkata, beliau sering dibawa oleh ayahnya untuk mengikuti ceramah Kit Siang apabila pemimpin DAP itu berada di Seremban.

“Kali pertama saya berpeluang untuk berucap bersama beliau di atas pentas yang sama ialah pada tahun 1999,” katanya.

Pada tahun 2002, Loke mula berkhidmat di Ibu pejabat Kebangsaan DAP selama dua tahun dan dalam tempoh itu, berpeluang memerhati kehidupan dan keperibadian Kit Siang dengan lebih dekat.

“Setiap hari, beliau adalah orang yang paling awal sampai ke pejabat,  menyiapkan kenyataan media pertama untuk hari tersebut dan akan pergi minum pagi bersama kakitangan lain di kedai kopi berdekatan,” katanya.

Biasanya pada sebelah petang Kit Siang akan bergerak ke negeri lain untuk menghadiri program parti sehingga lewat malam dan balik ke Petaling Jaya pada malam yang sama.

Kehidupan Kit Siang juga amat “simple”, tidak ada sebarang unsur kemewahan dalam cara hidup dan amat peka dan sensitif terhadap masalah orang lain terutamanya rakan-rakan seperjuangan dalam parti.

“Pengalaman saya memandu beliau dengan kereta buruk saya ketika itu untuk menziarah mendiang Kerk Kim Hock semasa Kerk sedang menjalani rawatan kanser masih segar dalam ingatan saya. Beliau tak kisah walaupun tak selesa.,” kata Loke.

Kit Siang juga antara yang terawal hadir untuk memberi sokongan moral dan solidariti sekiranya ada sesiapa dalam kalangan pemimpin DAP ditahan oleh polis.

Keperibadian Kit Siang ini telah secara tidak langsung membentuk nilai dan budaya dalam parti DAP.

“Kita mesti selalu ingat bahawa DAP adalah sebuah parti untuk rakyat biasa dan pemimpin DAP kena sentiasa hidup secara bersederhana seperti Kit Siang dan melayan setiap manusia yang lain dengan hormat walau apa pun latar belakang mereka,” katanya.

Justeru beliau berharap pemimpin muda dalam DAP belajar dari Kit Siang bukan sahaja dari segi ilmu politiknya tetapi lebih penting lagi, belajar dari cara hidup sebagai seorang manusia yang berwibawa.

(foto fb Anthony Loke)

Related posts

Leave a Comment