Kit Siang tolak jadi mentor DAP

PETALING JAYA 13 April – Veteran DAP Lim Kit Siang mengulangi pendirian untuk bersara daripada kepemimpinan parti sekaligus menolak tawaran untuk menjadi “mentor” parti itu yang diasaskannya lebih 50 tahun lalu.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Tertinggi Parti (JTP) dan Setiausaha Agung Anthony Loke atas cdangan pelantikan itu, beliau akan terus menyokong kepemimpinan baharu parti.

Berucap pada majlis makan malam bersama pemimpin dan ahli Parlimen DAP malam tadi, Kit Siang berkata, beliau sentiasa bersedia memberikan pandangan dan nasihat mengenai masa depan Malaysia serta hala tuju baharu DAP.

Bagaimanapun katanya tiada keperluan untuk sebarang jawatan dalam parti, justeru menolak cadangan JTP untuk menjadi mentor DAP.

Katanya, selagi masih hidup, beliau tidak dapat bersara daripada politik secara keseluruhannya “kerana politik mempengaruhi setiap aspek kehidupan seseorang”.

Pada kongres kebangsaan parti bulan lalu, Kit Siang, 81 mengumumkan keputusan bersara daripada politik dan menarik diri untuk merebut kerusi dalam JTP pada pemilihan DAP serta tidak akan bertanding pada pilihan raya umum.

Kit Siang berada dalam CEC sejak 1966 ketika mula menjadi setiausaha penganjur kebangsaan dan seterusnya memegang jawatan setiausaha agung selama 30 tahun sejak 1969.

Menurut Kit Siang, beliau telah menyampaikan keputusannya kepada Anthony Loke dan Loke boleh mengharapkan sokongan penuhnya walaupun tidak mempunyai jawatan dalam parti.

Kit Siang bersara selepas enam dekad dalam politik, dengan memimpin DAP sebagai setiausaha agung selama 30 tahun, mulai 1969.

Dalam ucapannya, Kit Siang berkata dia dan pemimpin awal DAP didorong oleh “impian Malaysia” – kepercayaan bahawa Malaysia berpotensi untuk menjadi negara hebat bertaraf dunia.

Bagaimanapun,  ideologi DAP itu difitnah dan dituduh sebagai anti-Melayu, anti-Islam dan juga komunis.

“Ini adalah kuasa propaganda negatif, berita palsu dan dakwaan palsu, tetapi melainkan kita dapat mencari jawapan kepada momokan itu, Malaysia tidak akan pernah mencapai potensinya untuk menjadi negara hebat bertaraf dunia.

“DAP tidak pernah menentang mana-mana kaum atau agama kerana ini bertentangan dengan kepercayaan asas kita bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang majmuk dan berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya,” katanya.

Kit Siang juga menegaskan, DAP konsisten dalam dasar-dasarnya, termasuk menggesa undang-undang untuk menghalang wakil rakyat daripada bertukar parti sejak 1978.

Menyorot kembali isu itu, selepas pilihan raya umum 1969, DAP memenangi 13 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri tetapi, empat daripada ahli Parlimen tersebut dan 11 ADUN berpaling tadah.

Katanya, pada 21 Mac 1978, beliau mengusulkan rang undang-undang persendirian di Parlimen untuk mengharamkan lompat parti oleh Ahli Parlimen yang memerlukan kekosongan kerusi dan menyebabkan pilihan raya kecil diadakan.

Related posts

Leave a Comment