Anwar kekal Presiden PKR

KUALA LUMPUR 12 April – Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim mengekalkan kerusi Presiden PKR pada Pemilihan PKR 2022.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, berkata Anwar mengulangi sejarah pemilihan parti itu pada 2018, dengan menang tanpa bertanding bagi jawatan itu selepas pencalonan bagi bertanding jawatan tertinggi parti diadakan semalam.

“Ini adalah penghormatan terbesar daripada akar umbi PKR. Saya dengan penuh takzim mengucapkan tahniah kepada saudara Anwar,” kata Saifuddin melalui Twitter pagi ini.

Semalam, kenyataan daripada pejabat Presiden PKR memaklumkan Anwar akan mempertahankan jawatan itu bagi penggal 2022/2025.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menghantar permohonan pencalonan pada pukul 12.14 tengah hari semalam menerusi aplikasi ADIL.

Anwar secara rasminya memegang jawatan Presiden PKR selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu pada 2018. Beliau sebelum itu memegang jawatan Ketua Umum PKR.

Anwar menggantikan isterinya Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang memegang jawatan Presiden sejak PKR ditubuhkan pada 1999.

Related posts

Leave a Comment