SHAH ALAM 4 Ogos – Sindiket pengedaran dadah terbongkar susulan rampasan methamphetamine dan MDMA bernilai RM20.74 juta dalam dua serbuan Os Kalidas di Ijok, Kuala Selangor dan Petaling Jaya pada 29 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Hussein Omar Khan, berkata dua lelaki berusia 24 dan 26 tahun yang dipercayai berperanan sebagai penghantar dadah bagi sindiket berkenaan turut ditahan.
Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan ketika memunggah guni berisi dadah ke dalam dua kenderaan utiliti sukan (SUV) di Ijok.
Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua kenderaan itu, polis menemui 21 guni plastik berwarna putih yang mengandungi 409 bungkusan berisi ketulan dan serbuk kristal disyaki methamphetamine dengan anggaran berat 410 kilogram.
Susulan tangkapan itu, polis menjalankan serbuan kedua di sebuah rumah di Taman Putera Damai, Petaling Jaya yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan dadah.
“Pemeriksaan di premis berkenaan menemukan 900 ketulan disyaki mengandungi cecair MDMA dengan anggaran keseluruhan 128 liter,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Hussein berkata, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM20.74 juta dan dipercayai mampu membekalkan dadah kepada kira-kira dua juta penagih.
Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai aktif sejak awal tahun ini, manakala kedua-dua suspek berperanan sebagai penghantar dadah.
“Hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis THC. Semakan rekod lampau pula mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod jenayah, manakala suspek kedua mempunyai satu rekod jenayah,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula 30 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
(Foto FB JSJ Bukit Aman)
Nnnnn
