Kes harian turun bawah 10,000

PUTRAJAYA 12 April – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 turun lagi dengan merekodkan 7,739 kes baharu semalam, berbanding 8,112 yang direkodkan kelmarin dan 10,177 kes sebelum itu.

Ini merupakan hari kedua berturut-turut jangkitan harian direkodkan bawah 10,000 kes dan mengikut rekod, negara pernah mencatatkan kes bawah paras 10,000 pada 4 Februari lalu iaitu sebanyak 7,234 kes.

Menerusi data dikongsikan laman sesawang COVIDNOW, jumlah kes harian semalam menjadikan sehingga kini 4,333,557 individu sudah dijangkiti virus berkenaan dalam negara.

Pada masa sama, sebanyak 19,049 kes sembuh dilaporkan semalam, menyumbang kepada 4,163,777 kes pulih daripada jangkitan Covid-19, setakat ini.

Semalam juga, sebanyak 19 kematian akibat Covid-19 direkodkan dengan tiga membabitkan kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Mengenai jangkitan baharu, sejumlah 7,716 kes membabitkan penularan tempatan dan baki 23 lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Secara keseluruhan, sehingga kini terdapat 97.6 peratus bersamaan 131,235 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah, manakala 2.1 peratus atau 2,794 kes pula sedang mendapatkan rawatan di hospital.

Sebanyak 266 atau 0.2 peratus kes daripada jumlah keseluruhan pula berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), Unit Rawatan Rapi (ICU) (72 kes) dan ICU serta memerlukan alat bantuan pernafasan (102 kes).

Related posts

Leave a Comment