18 tawar diri Naib Presiden PKR

KUALA LUMPUR 12 April – Di sebalik kemenangan Anwar Ibrahim tanpa bertanding bagi jawatan Presiden PKR, berlaku persaingan sengit melibatkan jawatan Naib Presiden apabila 18 orang menawarkan diri untuk jawatan itu.

Empat jawatan No.3 dalam parti itu kosong apabila tidak ada penyandang yang menawarkan diri bertanding sama ada tidak bersedia, bertanding jawatan lain, meletak jawatan sebelum ini atau keluar parti.

Bagaimanapun, senarai penuh calon yang akan bertanding hanya akan dimuktamadkan esok sekiranya terdapat sebarang bantahan atau penarikan diri.

Calon terakhir yang melengkapkan 18 nama malam tadi adalah Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Md Akin yang menghantar pencalonan bagi pemilihan jawatan itu, lewat malam tadi.

Shamsul Iskandar yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya menghantar pencalonan secara atas talian pada pukul 11.46 malam tadi, 13 minit sebelum pencalonan bagi jawatan tertinggi parti ditutup pada pukul 11.59 malam.

Selain Shamsul Iskandar, 17 lagi calon yang akan bertanding bagi jawatan Naib Presiden ialah Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri, Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri, Aminuddin Harun.

Turut menawarkan diri adalah Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang; Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Ahli Parlimen Kuantan dan Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh serta Ahli Parlimen Setiawangsa dan Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Selain itu, bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak; bekas Timbalan Pengerusi PKR Perak, MA Tinagaran; Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid; Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai; bekas Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan dan ADUN Sentosa, Dr G Gunaraj.

Lima lagi calon ialah Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail; bekas Naib Presiden, Mustaffa Kamil Ayub; bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), S Thiban; ADUN Chuah, Michael Yek Diew Ching serta ADUN Bukit Selambau, Dr R. Summugam.

Pengundian bagi jawatan utama PKR akan diadakan secara hibrid, iaitu melalui kaedah fizikal bermula 13 hingga 17 Mei ini dan dalam talian menggunakan aplikasi atau laman sesawang ADIL pada 18 hingga 20 Mei ini.

Related posts

Leave a Comment