KUALA LUMPUR 3 Nov. – Tindakan yang diambil terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Mohd Shuhaily Mohd Zain adalah mengikut proses perundangan sewajarnya selepas siasatan kes membabitkan beliau dijalankan, kata Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri yang mengakui Mohd Shuhaily seorang pegawai yang mempunyai prestasi yang baik, bagaimanapun menegaskan ia tidak terkecuali daripada mengikut peraturan.
“Jika tanya saya dari segi peribadi, saya simpati dengan beliau tetapi proses itu, bila ada dakwaan, sama ada daripada orang ramai atau polis, itu soal siasatan.
“Jangan minta saya atau Menteri Dalam Negeri (Saifuddin Nasution Ismail) campur tangan sampai ke situ. Cuma sekarang ini, jika didapati oleh pihak pendakwaan bahawa ada kes untuk didakwa, beliau dakwa. Bila didakwa, proses ikut peraturan negara,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) yang meminta penjelasan mengapa Mohd Shuhaily ditukarkan semula ke Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menggesa supaya beliau terus menerajui AKPS.
Sebelum ini, Saifuddin memaklumkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk mengembalikan Mohd Shuhaily, yang dalam kontrak peminjaman kader sebagai Ketua Pengarah AKPS kepada PDRM.
Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis, pada 28 September di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Perdana Menteri, menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi atau mengamalkan sikap dwistandard terhadap mana-mana pegawai penguat kuasa yang didapati melanggar undang-undang, walaupun individu itu memiliki rekod prestasi cemerlang.
Beliau memberikan contoh peristiwa pada 1998 apabila bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor tetap dihukum penjara susulan insiden memukul tahanan.
“Kita kena ingat, betapa baik pun mana-mana pegawai, dia mesti ikut peraturan. Kalau ada dakwaan atau tuduhan seseorang itu didera, dia (perlu) mengikut proses.
“(Ahli Parlimen) Arau tahu, (pada) 1998 Ketua Polis Negara dipenjara kerana memukul seseorang. Apakah dia tidak ada jasa? Dia ada jasa. Jadi kita ada dua perkara, iaitu kerja mesti profesional, tapi kalau ada tindakan yang melanggar undang-undang, itu kena ikut proses,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang menyifatkan kes Mohd Shuhaily tidak wajar dibawa ke mahkamah kerana mencemarkan imej beliau, sebaliknya perlu diselesaikan antara dua agensi penguatkuasaan, Perdana Menteri, berkata apabila laporan dibuat, tindakan harus diambil walau apa juga tafsirannya.
Perdana Menteri berkata, adalah tidak adil untuk mana-mana pihak menuding jari kepada Saifuddin dalam kes itu kerana beliau hanya menjalankan tugas, malah kini ada pula pihak yang mengkritik beliau kerana didakwa lambat mengambil tindakan.
“Jadi, beri beliau ruang untuk berbincang dengan baik. Jika tanya saya, apakah boleh kita runding? Boleh runding tapi orang yang melaporkan, yang menganggap dirinya mangsa pun kita kena beri perhatian.
“Jadi, biarlah keadaan ini kita ikut jalur hukum. Biar menteri gunakan kebijaksanaannya untuk mengambil tindakan sesuai dengan kaedah, peraturan dan hukum sedia ada,” katanya.
Nnn
