Merapatkan saf atau rapat sejadah?

MANA satu – rapat saf atau rapat sejadah? Begitulah persoalan yang timbul apabila semua negeri membenarkan solat jemaah di masjid dan surau tanpa penjarakan fizikal atau dalam erti kata lain merapatkan saf.

Selepas dua tahun ‘hidup dalam penjarakan’ termasuk ketika solat, tahun 2022 membawa perkhabaran gembira apabila jarak fizikal 1.5 meter ketika solat (malahan lebih jauh sebelum itu) dipendekkan kepada 1 meter dan sekarang lebih ‘rapat’.

Ini satu perkembangan yang baik, kata orang lebih baik ada daripada tiada kerana keadaan kembali normal dan masjid serta surau mempunyai ‘ruang’ solat lebih luas  apabila tiada lagi penjarakan.

Bagaimanapun isu yang masih berlegar adalah sama ada merapatkan saf atau tanpa penjarakan fizikal benar-benar mencapai matlamatnya. Mungkin ada kekeliruan apabila maksud merapatkan saf dikaitkan dengan sejadah.

Merapatkan saf,  jarak antara sejadah atau tanpa sentuhan fizikal memberi maksud yang berbeza. Ramai yang keliru apa maksud merapatkan saf tetapi pada masa sama jemaah diminta membawa sejadah tanpa sentuhan fizikal.

Berdiri di dalam saf bukan hanya sekadar berbaris lurus, tetapi juga dengan merapatkan kaki dan bahu antara satu dengan yang lainnya seperti yang dilakukan oleh para sahabat.

Dari Ibnu Umar r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Rapatkanlah saf, dekatkan (jarak) antara saf-saf itu dan ratakan bahu-bahu.” (HR Abu Daud dan an-Nasai, disahihkan oleh Ibnu Hibban)

Adakah dengan meluruskan saf itu memerlukan seseorang itu melakukan Ilzaq bersama jemaah yang berada bersebelahan?

Menurut satu penjelasan berkaitan ilzaq di laman web Mufti Wilayah Persekutuan, Ilzaq dari sudut bahasa membawa maksud menempel atau mencantumkan.

Manakala dari sudut istilah Ilzaq di dalam solat memberi maksud menempelkan atau merapatkan sehingga bersentuhan bahu bertemu bahu, lutut bertemu lutut, kaki bertemu kaki sehingga tidak ada ruang kosong dalam saf yang didirikan.

Mengambil contoh di Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), turut menetapkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) di masjid, surau dan musolla di seluruh negeri untuk dipatuhi para jemaah.

Ini termasuk hanya individu yang lengkap vaksinasi Covid-19 sebagaimana yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dibenarkan hadir, begitu juga individu  yang berumur di bawah 18 tahun dan telah lengkap menerima dua dos vaksin.

Individu yang hadir ke masjid, surau dan musolla dikehendaki membawa sejadah sendiri dan sentiasa memakai pelitup muka.

Mana-mana individu yang bergejala diminta menangguhkan dari menghadiri sebarang aktiviti di masjid, surau dan musolla sehingga tahap kesihatan dapat dipastikan demi menjaga kesejahteraan jemaah yang lain.

Apabila jemaah diminta membawa sejadah standard tetapi datang dengan pelbagai saiz, kemungkinan saf tidak dapat dirapatkan lebih-lebih lagi jemaah lebih selesa berada di atas sejadah masing-masing bukan menempel di sejadah sebelah.

Dalam kalangan jemaah pula, ada yang lebih selesa dengan penjarakan ikut sejadah dan ada pula yang masih risau terlalu dekat dengan jemaah lebih-lebih lagi jika jemaah sebelah tidak memakai pelitup muka atau kelihatan ‘bergejala’.

Akhirnya timbul pelbagai cadangan termasuk melipat sejadah atau hanya membawa sejadah kecil untuk sujud. Maknanya sejadah memang dibawa tetapi perlu dilipat walaupun saiznya standard bagi mematuhi arahan ‘merapatkan’ saf.

Pihak berkuasa yang berkenaan perlu tampil menjelaskan maksud sebenar merapatkan saf ini sama ada sekadar rapat antara sejadah atau rapat antara makmum. Isu ini remeh tetapi boleh ‘mengganggu’ jemaah yang keliru.

Jika rapat saf itu bermaksud antara sejadah, terimalah seadanya andai itu SOP terbaik yang ada pada ketika ini. Dan jika sebaliknya rapat antara makmum, sesuatu perlu dilakukan supaya jemaah tidak terikat dengan SOP saiz sejadah.

Related posts

Leave a Comment