Covid-19 : Selangor sumbang kes tinggi

PUTRAJAYA 4 April – Selangor menyumbang lebih separuh jumlah kes jangkitan harian negara semalam dengan merekodkan 7,613 kes berbanding 12,380 yang dicatatkan di peringkat kebangsaan.

Jumlah kes harian negara pula menunjukkan penurunan berbanding 14,692 kes yang direkodkan kelmarin.

Menerusi data yang dikongsikan dalam laman sesawang COVIDNOW, perkembangan itu menjadikan sehingga kini terdapat sebanyak 4,246,467 kes COVID-19 di negara ini.

Kes baharu yang dicatatkan semalam itu membabitkan 11,918 kes penularan tempatan dengan 462 kes adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula merekodkan 909 kes, Pulau Pinang 572, Johor 510, Perak 491, Negeri Sembilan 412, Sarawak 351, Kedah 330, Pahang 287, Terengganu 235, Melaka 219, Kelantan 184, Sabah 167, Putrajaya 52, Perlis 26 dan Labuan 22.

Secara keseluruhannya, sehingga kini terdapat 97.7 peratus bersamaan 188,534 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah manakala 1.9 peratus atau 3,682 kes pula sedang mendapatkan rawatan di hospital.

Sebanyak 478 kes atau 0.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes pula kini berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), Unit Rawatan Rapi (ICU) (96 kes) dan ICU serta memerlukan alat bantuan pernafasan (157 kes).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 61.05 peratus atau 7,559 kes adalah membabitkan pesakit Covid-19 dalam kategori satu iaitu tidak mempunyai gejala.

Selain itu 38.26 peratus (4,736 kes) adalah pesakit kategori dua, kategori lima (33 kes), kategori tiga (32 kes) dan kategori empat (20 kes). Secara keseluruhannya, daripada jumlah 85 kes Covid-19 dalam kategori tiga hingga lima itu, sebanyak 57 kes membabitkan individu berusia 60 tahun keatas.

Ia diikuti mempunyai komorbid (49 kes), sudah menerima dua dos vaksin namun tiada dos penggalak (33 kes), sudah menerima dos penggalak (28 kes) dan tidak divaksin atau belum lengkap vaksin (24 kes).

Tiada pertambahan kluster baharu yang dikesan di negara ini dan jumlah kluster yang masih aktif kekal kepada 181 kluster.

Bagi kapasiti katil ICU, Dr Noor Hisham berkata terdapat dua negeri yang mencatatkan penggunaan katil melebihi 50 peratus iaitu Kuala Lumpur kini mencecah 60 peratus serta Selangor dengan penggunaan 50 peratus.

Katil bukan ICU pula, sehingga semalam terdapat dua negeri mencatatkan penggunaan melebihi 50 peratus iaitu di Putrajaya dengan kegunaan kini sebanyak 66 peratus serta Selangor sebanyak 55 peratus.

Mengenai kes sembuh yang dilaporkan semalam, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 20,635 kes sembuh dicatatkan sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan individu pulih sepenuhnya daripada jangkitan berkenaan adalah 4,018,421 kes.

Related posts

Leave a Comment