KUALA LUMPUR 29 Okt. – Enam Ahli Parlimen Bersatu diketuai Muhyiddin Yassin memeterai Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) dengan kerajaan dalam satu pertemuan di Bangunan Parlimen, di sini, petang ini.
Selain Muhyiddin (Pagoh) turut sama adalah Radzi Jidin (Putrajaya), Ali Biju (Saratok), Suhaimi Abdullah (Langkawi), Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Azman Nasrudin (Padang Serai).
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, berkata antara perkara yang dipersetujui menerusi perjanjian itu ialah sokongan terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hingga akhir penggal, termasuk Belanjawan 2027.
Katanya, perjanjian itu tidak bermakna Bersatu melepaskan tanggungjawab sebagai pembangkang sebaliknya kekal sebagai pembangkang.
“Bagaimanapun, antara perkara yang dipersetujui bersama ialah Bersatu akan menyokong Belanjawan yang sedang dibahaskan di Parlimen serta perkara-perkara berkaitan dengannya.
Terdapat juga perkara berkaitan reformasi institusi, termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum dua penggal serta pengasingan kuasa antara Peguam Negara dengan pendakwa raya,” katanya selepas pertemuan dengan kerajaan berhubung perjanjian berkenaan, hari ini.
Muhyiddin berkata, ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini pernah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri juga hadir pada pertemuan berkenaan, bagi menandatangani CSA sebagai formaliti.
Beliau berkata, kerajaan turut bersetuju menyediakan peruntukan pembangunan kepada wakil rakyat Bersatu yang terbabit dalam perjanjian itu, pada kadar sama seperti diterima Ahli Parlimen kerajaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah sebenar peruntukan berkenaan belum dapat dipastikan, namun dianggarkan antara RM3 juta hingga RM4 juta setahun.
“Saya kurang pasti. Apa yang saya dengar, jumlahnya sama seperti yang diterima Ahli Parlimen kerajaan, iaitu sekitar RM3 juta hingga RM4 juta setahun,” katanya.
Mengulas sama ada Bersatu mempertimbangkan kerjasama dalam pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Muhyiddin berkata, perkara itu adalah persoalan yang berbeza dan tidak mempunyai kaitan dengan perjanjian hari ini.
“Kami kekal sebagai pembangkang dan saya kekal bersama Bersatu. Semua ini bukan untuk kepentingan parti, tetapi untuk negara. Itu yang penting,” katanya.
Muhyiddin berkata, Bersatu sejak awal mengharapkan semua Ahli Parlimen diberikan peruntukan sama rata, tanpa mengira sama ada mereka daripada blok kerajaan atau pembangkang.
“Terdapat satu atau dua parti lain yang belum memeterai perjanjian sedemikian. Saya tidak tahu mengapa mereka belum melakukannya dan itu adalah urusan mereka.
“Pada asasnya, sejak dahulu lagi kami meminta supaya semua Ahli Parlimen diberikan peruntukan yang sama,” katanya.
Bersatu kini mempunyai 19 Ahli Parlimen, namun 13 daripadanya berpihak kepada Presiden Wawasan Hamzah Zainudin yang juga ketua pembangkang.
Dua hari lalu, Anwar berkata peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang boleh diberikan menerusi perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA), sama seperti perjanjian yang dimeterai dengan pentadbiran Ismail Sabri Yaakob ketika Anwar menjadi ketua pembangkang.
Blok kerajaan di Dewan Rakyat kini mempunyai 149 Ahli Parlimen, termasuk Pakatan Harapan (PH) dengan 75 kerusi, Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23) dan Gabungan Rakyat Sabah (tujuh).
Tiga Ahli Parlimen Warisan turut berada dalam blok kerajaan, bersama masing-masing seorang daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Lapan Ahli Parlimen Bebas turut menyokong kerajaan, termasuk enam bekas wakil Bersatu.
Blok pembangkang pula terdiri daripada Pas dengan 43 Ahli Parlimen, Bersatu (6), Wawasan (13) dan Muda (seorang).
Empat kerusi kini kosong susulan peletakan jawatan Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Wong Chen (Subang) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
Dengan 218 Ahli Parlimen aktif ketika ini, majoriti mudah memerlukan sekurang-kurangnya 110 sokongan, manakala majoriti dua pertiga memerlukan 146.
nnnn
