Parlimen Pakistan bubar

ISLAMABAD 3 April – Presiden Pakistan, Dr Arif Alvi, membubarkan Parlimen bagi memberi laluan untuk pilihan raya umum diadakan di negara itu dalam tempoh 90 hari.

Pembubaran itu dilakukan atas nasihat Perdana Menteri Imran Khan, sekali gus menggagalkan usaha pembangkang untuk menyingkirkan pemimpin tersebut daripada jawatan tertinggi itu.

Langkah itu diambil selepas Timbalan Speaker Parlimen menolak usul undi tidak percaya terhadap Imran dengan menyifatkannya sebagai `tidak berperlembagaan’.

Terdahulu,  Imran dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen menggesa Parlimen dibubarkan dengan segera memandangkan terdapat campur tangan yang `tidak boleh diterima’ dalam institusi demokrasi Pakistan

Katanya, kerajaan sementara perlu ditubuhkan untuk mengadakan pilihan raya umum.

Sebelum ini,  Imran pernah mendakwa wujudnya `konspirasi asing’ di sebalik usul undi tidak percaya terhadap beliau dalam usaha menjatuhkan kerajaan pimpinannya

Bulan lalu, pakatan parti pembangkang mengemukakan usul terhadap Imran selepas mendakwa pemimpin itu kehilangan majoriti susulan beberapa ahli parti pimpinannya, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) berpaling tadah.

Pakatan parti pembangkang menuduh kerajaan pimpinan Imran mengamalkan rasuah dan mendakwa beliau melakukan salah urus ekonomi di tengah-tengah krisis ekonomi yang semakin memuncak.

Related posts

Leave a Comment