Sasaran 100 juta dos 100 hari tercapai

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dijangka memenuhi janjinya untuk  memberikan 100 juta dos vaksin dalam tempoh 100 hari pentadbirannya pada hari ini, Jumaat.

Perkembangan itu adalah beberapa minggu lebih awal (58 hari) berbanding jadual, walaupun berlaku gangguan cuaca dan ribut musim sejuk sejak awal tahun ini.

Biden memberitahu, lapan minggu yang lalu, hanya lapan peratus warga emas yang telah menerima vaksin Covid-19 dan kini 65 peratus warga berusia 65 tahun ke atas telah menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama.

Pencapaian itu menurutnya, adalah penting kerana populasi warga emas mewakili 80 peratus dari 500,000 kematian akibat Covid-19.

“Esok, kita akan mencapai 100 juta dos vaksin yang telah diberikan oleh pentadbiran kita. Tetapi, seperti yang saya selalu katakan, itu hanya asasnya.

“Kita tidak akan berhenti sehingga kita berjaya mengalahkan wabak ini. Minggu depan, saya akan umumkan matlamat seterusnya dalam program vaksinasi.

“Ini adalah masa untuk optimis, bukan masa untuk bersantai. Saya memerlukan semua orang Amerika, semua anda, untuk mainkan peranan,” katanya di White House, pada Khamis.

Biden mengatakan bahawa, AS pada puratanya memberikan 2.5 juta suntikan vaksin sehari, jauh melebihi kadar di seluruh dunia.

Ketika Biden menjadi presiden pada 20 Januari lalu, AS telah pun memberikan kira-kira 20 juta suntikan vaksin pada kadar 1 juta dos setiap hari.

Bagaimanapun, setelah timbul kritikan mengatakan sasaran Biden tidak cukup tinggi, jumlahnya dinaikkan kepada 150 juta dos dalam 100 hari pertama.

AS kini memberi suntikan sekitar 2.2 juta dos setiap hari dan kadar vaksinasi meningkat secara mendadak akhir bulan ini bersamaan dengan jangkaan lonjakan bekalan vaksin.

Related posts

Leave a Comment