G13 termasuk Dr Mahathir sertai Putra

KUALA LUMPUR 24 Feb. – Tun Dr Mahathir bersama 13 lagi ahli (G13) yang meninggalkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sah menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pada Jumaat.

Bekas Ahli Majlis Eksekutif Pusat Pejuang, Armin Baniaz Pahamin mengesahkan mengenai perkara itu di laman Facebook hari ini.

Menerusi status yang dimuat naik, Armin berkata semua G13 termasuk Dr Mahathir mendaftar keahliannya bagi meneruskan perjuangan politiknya bersama Putra.

“Misi dan matlamat kita perlu jelas untuk menjayakan sesuatu perjuangan. Perjuangan utama ialah untuk penyatuan orang, parti dan pertubuhan Melayu. Doakan semoga Allah permudahkan perjuangan kami.

Hanya melalui penyatuan orang-orang melayu dapat kita bersatu menyelesaikan masalah bangsa demi agama dan tanah air,” katanya.

Sebelum ini, Dr Mahathir memberi bayangan untuk menyertai Putra selain berhasrat menjadi penasihat parti yang dipimpin oleh Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau menganggap jemputan untuk menyertai Putra sesuai dengan perjuangan dan prinsip politiknya iaitu membela nasib orang Melayu dan menolak amalan rasuah.

Beliau juga berharap dapat memberi panduan kepada Putra dan meneruskan perjuangan serta mencapai matlamat untuk selamatkan kaum Melayu di negara ini.

Terdahulu, Armin Baniaz juga memuat naik gambar selepas Mesyuarat Mingguan Sekretariat Tanahair ke 5 yang di Pengerusikan oleh Dr Mahathir.

“Banyak usul diperbincangkan. Tun banyak berkongsi pandangan. Ahli-ahli Mesyuarat juga rancak bertukar pendapat. Jumlah ahli Mesyuarat semakin membesar. Tambahan ahli Mesyuarat mengikut keperluan untuk menggerakkan tugas. Alhamdulillah semua berjalan lancar,” katanya.

Related posts

Leave a Comment