310 kanak-kanak ambil dos kedua

PUTRAJAYA 1 April – Seramai 310 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids), setakat semalam.

Menurut data di laman web COVIDNOW, sebanyak 5,517 kanak-kanak tampil mendapatkan dos pertama semalam menjadikan jumlah keseluruhan 1,329,638 atau 37.4 peratus populasi itu di Malaysia sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19.

Menerusi PICKids yang dilancar pada 3 Februari lepas, kerajaan menetapkan sela masa selama lapan minggu antara dos pertama dengan kedua.

Sementara itu, bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,851,819 individu atau 91.7 peratus daripada kumpulan itu sudah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,948,197 atau 94.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Semalam juga, seramai 48,516 lagi individu mendapatkan dos penggalak menjadikan 15,808,761 orang atau 67.2 peratus populasi dewasa sudah menerima dos berkenaan.

Bagi populasi yang sama, sebanyak 22,953,296 atau 97.6 peratus telah melengkapkan vaksinasi manakala 23,228,967 atau 98.8 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 57,199 dos vaksin diberikan semalam membabitkan 6,788 suntikan pertama, 1,895 suntikan lengkap dan 48,516 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 68,909,031 dos.

Related posts

Leave a Comment