Malaysia-Indonesia perkasa bahasa

JAKARTA 1 April – Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk bersama-sama memperkasakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa berikutan ia adalah bahasa serumpun bagi kedua-dua negara.

Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia, Joko Widodo, antara lain bersetuju untuk menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantara di semua persidangan antarabangsa.

Ismail Sabri berkata, usaha bersama antara Malaysia dan Indonesia bagi memperkasakan bahasa kebangsaan itu bakal membantu menjadikannya sebagai bahasa ASEAN pada masa depan.

“Kita juga bersetuju dan berterima kasih kepada Presiden (Indonesia) kerana bersetuju dengan Malaysia untuk memperkasakan Bahasa Melayu yang juga bahasa serumpun.

Bahasa serumpun ini merangkumi Bahasa Melayu Malaysia, Bahasa Melayu Indonesia, Bahasa Melayu Brunei, Bahasa Melayu Selatan Thailand, Bahasa Melayu Champa, Bahasa Melayu di Kemboja dan Bahasa Melayu di Filipina.

“Kita bersetuju di setiap persidangan antarabangsa, Presiden Indonesia dan

saya akan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara. Kita bersetuju jika kita bersama-sama memperkasakan bahasa rumpun Melayu ini, mungkin satu hari nanti ia boleh dijadikan sebagai bahasa ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Joko Widodo di Jakarta, hari ini, selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) di Malaysia.

Ismail Sabri memaklumkan, pertemuan dengan Presiden Indonesia itu turut menyentuh beberapa perkara lain, antaranya potensi pelaburan Malaysia di Kalimantan Timur, susulan perancangan pembukaan ibu negara Indonesia yang baharu, Nusantara.

Jelas Perdana Menteri, kedua-dua negara bersetuju untuk memperhebatkan pembangunan di kawasan sempadan kedua-dua negara di kepulauan Borneo, dengan kedua-dua negara akan bekerjasama untuk mengenal pasti kawasan yang perlu dibangunkan, sama ada di Malaysia atau Indonesia.

“Saya berterima kasih kerana Presiden bersetuju untuk kita mengenal pasti kawasan yang akan dimajukan oleh pelabur dari Malaysia di bandar Nusantara nanti,” katanya.

Berhubung harga minyak sawit, Ismail Sabri memaklumkan, Malaysia dan Indonesia mencapai persetujuan supaya harga minyak kelapa sawit ditentukan secara bersama antara kedua-dua negara dan tidak bersaing dari segi penetapan harga.

“Pertemuan turut menyentuh isu Rohingya dan kami bersetuju bahawa ia perlu diselesaikan secara dalaman oleh pihak Myanmar sendiri. Saya maklumkan, isu Rohingya adalah isu besar di Malaysia kerana terdapat 200,000 pelarian Myanmar Rohingya di Malaysia,” katanya.

Related posts

Leave a Comment