Kes jangkitan harian meningkat

PUTRAJAYA 1 April – Kes harian Covid-19 menunjukkan peningkatan apabila merekodkan 18,560 kes semalam, berbanding 15,941 kes pada hari sebelumnya menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 4,201,919 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah kes sembuh pula sebanyak 18,253 menjadikan jumlah keseluruhan 3,960,082 orang pulih atau 94.2 peratus daripada keseluruhan kes jangkitan yang direkodkan setakat ini.

Katanya, jumlah kes positif semalam terdiri daripada 187 kes import dengan 175 warganegara (93.6 peratus) dan 12 kes bukan warganegara (6.4 peratus) manakala  18,373 kes tempatan melibatkan 17,550 warganegara (95.5 peratus) dan 823 bukan warganegara (4.5 peratus).

Bagi kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 267 kes dengan 128 kes disahkan Covid-19, 139 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Sebanyak 164 kes terdiri daripada 79 kes disahkan Covid-19, 85 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Daripada 18,560 kes harian dilaporkan semalam, sebanyak 9,473 kes terdiri kategori satu diikuti 8,962 kes (kategori dua), 47 kes (kategori tiga), 37 kes (kategori empat) dan 41 kes (kategori lima).

Dr Noor Hisham berkata, daripada 125 kes Covid-19 kategori tiga, empat dan lima yang baharu dilaporkan, 34 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi dan 50 kes menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak (booster).

Sejumlah 41 kes menerima dos penggalak, 67 kes berumur 60 tahun ke atas dan 66 kes mempunyai komorbid.

Tiga negeri menunjukkan peratusan penggunaan Katil Bukan ICU melebihi 50 peratus iaitu Putrajaya (96 peratus), Selangor (63 peratus) dan Kuala Lumpur (50 peratus).

Bilangan pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga menunjukkan penurunan kepada 164 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 19 peratus.

Related posts

Leave a Comment