Fahmi akui fungsi J-Kom perlu diteliti semula

PUTRAJAYA 3 Jan. – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengakui fungsi Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) perlu diteliti semula, tetapi masih terlalu awal untuk membuat sebarang pengumuman berkaitan perkara terbabit.

Justeru dalam tempoh terdekat, fungsi J-Kom akan diselaraskan supaya dapat disesuaikan dengan tugas seperti dihasratkan oleh Kerajaan Perpaduan.

“Memang kita lihat perlu ada penyesuaian beberapa fungsi dan tugas selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk dilaksanakan oleh agensi termasuk J-Kom,” katanya pada sidang media hari ini.

Fahmi berkata, usaha meneliti semula fungsi J-Kom penting supaya tugas, objektif dan matlamat jabatan itu dapat diselaras termasuk mengubah modus operandinya.

Beliau diminta mengulas syor Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Dr Puad Zarkashi yang menyarankan supaya J-Kom dirombak semula khususnya selepas mendakwa mengenai kewujudan Langkah Dubai.

Terdahulu, Puad mengesyorkan supaya J-Kom di bawah Kementerian Komunikasi dirombak secara menyeluruh selepas agensi berkenaan mendakwa wujud ‘Langkah Dubai’.

Puad menyifatkan dakwaan Timbalan Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Ismail Yusop itu ‘cetek’ dan menyebabkan kerajaan dalam keadaan defensif apabila beberapa nama dalam kerajaan disebut-sebut terbabit dalam gerakan itu.

“Mengenai isu yang disebut itu, kenyataan yang dibuat (Ismail), saya difahamkan ia bukan asalnya kenyataan, tetapi mesej yang tersebar dalam beberapa ‘group WhatsApp’ dan seterusnya dalam bahasa Inggeris disebut ‘attributed to’ kepada Timbalan Ketua Pengarah dan J-Kom.

“Saya lihat ada beberapa perkara yang perlu diselaras semula untuk pastikan bahawa mungkin isu-isu seperti ini tidak berulang,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment