Pelitup muka masih jadi pilihan

SINGAPURA 29 Mac – Walaupun penduduk Singapura tidak perlu lagi memakai pelitup muka di luar bangunan mulai hari ini, masih ramai yang memakainya pada hari pertama langkah pengurusan selamat itu dilonggarkan.

Menurut laporan media, ada yang memakainya demi kesihatan mereka manakala yang tidak memakainya berasa lebih selesa dengan kelonggaran itu.

Situasi itu mungkin disebabkan ia hari pertama kelonggaran yang mungkin sesuatu yang luar biasa bagi penduduk yang selama dua tahun memakai pelitup muka.

Pada 24 Mac lalu, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong mengumumkan orang ramai boleh berkumpul dalam kumpulan hingga 10 orang dan tidak wajib memakai pelitup semasa berada di luar bangunan.

Lee turut mengumumkan bahawa pemerintah membenarkan hingga 75 peratus daripada pekerja yang boleh bekerja dari rumah untuk kembali ke tempat kerja mereka dan menaikkan had kapasiti bagi acara yang lebih besar dengan lebih 1,000 hadirin hingga 75 peratus.

Bagaimanapun, keperluan jarak selamat akan dikekalkan, iaitu satu meter antara kumpulan dalam situasi di mana pelitup tidak dipakai, untuk mengurangkan penularan dalam situasi sedemikian.

Related posts

Leave a Comment