Ali Rustam terima ijazah kehormat

ARAU 29 Mac – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Pembangunan (Hon. D. Dev. Econs) kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Dr Mohd Ali Rustam bagi menghargai sumbangan beliau yang cemerlang dalam bidang ekonomi.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor USM berkenan menyampaikan ijazah kehormat itu kepada Mohd Ali sempena sidang pertama Upacara Konvokesyen Ke-59 USM yang berlangsung di Istana Arau, di sini.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Hadir sama Menteri Besar Perlis Azlan Man.

Sidang pertama itu adalah untuk meraikan penerima ijazah kehormat itu sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan universiti terhadap sumbangan Mohd Ali yang cemerlang dalam bidang ekonomi yang telah mendapat pelbagai pengiktirafan pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Mohd Ali yang juga Alumni Terbilang USM itu terkenal dengan ketokohannya dan banyak menyumbang dalam aspek kemajuan ilmu, perkembangan dan penyebaran pengetahuan serta kepakaran.

Raja Perlis dalam titah bagibda mengucapkan tahniah kepada Yang Dipertua Negeri Melaka itu atas penganugerahan ijazah kehormat berkenaan dan baginda percaya yang anugerah itu tepat sekali dengan sumbangan besar Mohd Ali terhadap USM, negeri Melaka dan negara umumnya.

“Tuan Yang Terutama Tun telah menunjukkan kecemerlangan beliau sebagai alumni berilmu yang mentransformasikan komuniti sehingga mencapai tahap yang tinggi.

“Saya percaya terdapat ramai lagi alumni USM yang berjasa besar dan boleh menjadi contoh teladan seperti Tuan Yang Terutama Tun. Cabaran utama universiti ialah untuk mendekati mereka ini dan pada masa yang sama melahirkan lebih ramai alumni hebat seperti ini,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, alumni universiti perlu dibawa kembali membantu universiti dalam banyak perkara antaranya bersama-sama memajukan universiti dan menjadi ‘role model’ kepada mahasiswa sedia ada.

“Sejak di universiti mereka tentunya melalui pengalaman yang bermakna untuk mengingati dan kembali kepada kita,” titah baginda.

Related posts

Leave a Comment