57 guru KAFA digantung tugas

SHAH ALAM 28 Mac – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil tindakan tegas dengan menggantung tugas 57 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) yang enggan mengambil vaksin Covid-19.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, jika pihak terbabit masih tidak melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 sepanjang tempoh penggantungan dua bulan itu, mereka juga boleh ditamatkan perkhidmatan serta-merta.

Menurutnya, tindakan tersebut dibuat berpandukan ketetapan dikeluarkan pihaknya berdasarkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan perkara sama kepada para pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksinasi.

Beberapa media melaporkan, JAIS memberi masa kepada semua guru berkenaan  untuk mendapatkan vaksin Covid-19 dalam tempoh gantung tugas itu.

Pada September tahun lalu, Sultan Selangor menzahirkan dukacita dan kecewa apabila hanya 203 daripada 873 guru KAFA, ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan jurunikah di negeri ini menghadiri Program Vaksinasi Khas Covid-19 Frontliner JAIS.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook Selangor Royal Office, lebih mendukacitakan baginda apabila 96 daripada 203 yang hadir itu menolak untuk divaksin.

Justeru, baginda bertitah, nama individu yang memutuskan untuk tidak divaksin akan diteliti dan satu ketetapan berhubung tindakan akan diambil terhadap mereka.

Related posts

Leave a Comment