SINGAPURA 26 Mac – Kementerian Kesihatan (MoH) melaporkan 6,434 kes baharu Covid-19 di Singapura hari ini berbanding 7,584 kes semalam yang membawa kepada jumlah keseluruhan 1,067,157 kes.
Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 6,312 adalah jangkitan tempatan dan 122 lagi kes import.dengan jumlah kematian baharu pula tujuh orang menjadikan jumlah keseluruhan 1,246.
Sebanyak 5,536 adalah kes baharu Protokol 2 iaitu pesakit yang sihat tetapi diuji positif ART atau dinilai oleh doktor sebagai mengalami gejala ringan dan berisiko rendah.
Kes Protokol 2 ini terdiri daripada 93 kes import dan 5,443 jangkitan tempatan manakala 898 kes lagi disahkan menerusi ujian PCR iaitu 869 jangkitan tempatan dan 29 adalah kes import.
Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan adalah 0.77, turun berbanding 0.79 semalam.
Menurut MoH, kadar itu merujuk kepada nisbah kes dalam masyarakat pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya di mana kadar di bawah 1 menunjukkan jumlah kes mingguan baru COVID-19 semakin merosot.
Sementara itu 8,606 pesakit dibenarkan keluar hospital manakala 731 pesakit masih dirawat di hospital, turun sedikit berbanding 826 semalam di mana 93 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa dan 24 dipantau rapi di ICU.
Bagi program vaksinasi, setakat 25 Mac, sebanyak 95 peratus penduduk Singapura yang layak sudah lengkap divaksin di bawah program vaksinasi nasional iaitu 92 peratus lengkap dua dos, 93 peratus satu dos dan 71 peratus dos penggalak.
