Sampai bila Melayu terus berkomentar isu Mandarin?

LAGI isu bahasa Mandarin. Sebelum ini kecoh apabila Lim Guan Eng menggunakan bahasa Mandarin berhubung kenyataan media beliau selaku Menteri Kewangan. Pelbagai alasan diberi bagi mewajarkan tindakannya sedangkan pengamal media wajib ‘menguasai bahasa’ sekurang-kurangnya bahasa Inggeris.

Bahasa Mandarin juga menimbulkan kontroversi apabila ada tanda nama jalan turut menggunakan bahasa Cina di Shah Alam sehingga menimbulkan teguran daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan supaya semua papan tanda berkenaan diturunkan.

Dan ketika cuti sambutan Maal Hijrah baru-baru ini, DAP pula sibuk menaikkan tulisan Cina di papan-papan tanda di sekitar Kuching, Sarawak.

Semalam kecoh lagi mengenai bahasa Mandarin ini. Kali ini melibatkan agensi kerajaan iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melancarkan portal dalam bahasa Mandarin.

Sampai bila masyarakat kita khususnya orang Melayu yang begitu sensitif hal-hal berkaitan bahasa dan agama ini terus berkomentar melayani ‘salah guna’ bahasa yang dikatakan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan?

Niat SPRM itu baik tetapi kaedahnya tidak kena, boleh dianggap meremehkan usaha memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan seterusnya membiarkan masyarakat bukan Melayu sebagai warganegara tidak yakin dan memandang remeh usaha untuk menguasai bahasa Kebangsaan.

Tujuan portal itu bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat mengenai pencegahan rasuah dan perkara berkaitan suruhanjaya itu.

Amat malang bagi sebuah agensi kerajaan yang diterajui orang Melayu mengambil langkah sedemikian setelah mereka ‘memahami’ masih ramai etnik Cina tidak tahu berbahasa Melayu sehingga mewujudkan portal khas Mandarin.

Siapa yang harus dipersalahkan apabila etnik Cina ‘menolak’ untuk menguasai bahasa Melayu? Sukar sangatkah belajar bahasa Melayu sehingga mereka tidak faham sedangkan pendatang asing seperti dari Bangladesh dan Pakistan boleh menggunakan bahasa Melayu dengan lebih cepat walaupun baru tiba di Malaysia.

SPRM dalam satu kenyataan berkata portal berkenaan yang dilancarkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Shamshun Baharin Mohd Jamil adalah bagi meningkatkan keyakinan dan pengetahuan masyarakat Cina terhadap SPRM serta agenda antirasuah.

Memanglah hasrat SPRM itu baik tetapi sebagai agensi kerajaan, pihak berkenaan sepatutnya menggunakan Bahasa Kebangsaan dalam urusan rasmi seperti yang terkandung dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama dengan seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Adakah selepas ini wujud pula portal dalam bahasa lain mengikut etnik masyarakat di negara ini?

Seperti kenyataan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, tindakan SPRM itu menyebabkan orang Cina tidak melihat apa-apa keperluan untuk memahami, membaca dan menulis dalam bahasa kebangsaan kerana mereka sentiasa diberikan pilihan menggunakan bahasa ibunda walaupun bagi maksud urusan rasmi Kerajaan.

“Adalah menyedihkan selepas 63 tahun Merdeka, masih ada yang mengaku sebagai rakyat Malaysia tetapi tidak memahami pernyataan dalam Bahasa Kebangsaan sehingga terpaksa dibuat satu laman khas untuk mereka. Rakyat Malaysia tidak lagi boleh diberi pilihan bahasa melainkan Bahasa Kebangsaan ,” katanya.

Sementara itu Mohd Ridhuan Tee Abdullah melalui laman Facebooknya berkata, tindakan itu amat memalukan.

“Jika beginilah sikap kita, sampai kiamat pun orang bukan Melayu tidak akan berusaha untuk mempelajari Bahasa Kebangsaan ini,” katanya yang tidak dapat membayangkan bagaimana pemikiran sebegini boleh berlaku dalam negara yang mempunyai Bahasa Kebangsaan yang sedia termaktub dalam perlembagaan.

Ridhuan Tee menyarankan SPRM menggunakan wang dan tenaga portal untuk mengkaji kenapa etnik Cina terus menerus merasuah pihak berkuasa bagi mendapatkan bisnes dan tender, tanah musang king, tanah rizab dan sebagainya. Dalam hal ini, beliau bersedia melakukan kajian itu.

“Tindakan menyediakan portal dalam bahasa Cina tidak akan menghentikan mereka merasuah pihak berkuasa .Yang paling sedih , pemberi rasuah bebas manakala penerima rasuah (penjawat awam) merengkok dalam penjara dan mendapat malu satu keturunan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment