Solat tanpa penjarakan di Kelantan

KOTA BHARU 25 Mac – Tiada lagi penjarakan fizikal bagi solat berjemaah termasuk solat Jumaat dan Tarawih di semua surau, musalla serta masjid di Kelantan berkuat kuasa 1 April ini.

Perkara itu mendapat perkenan daripada Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan sebagai Ketua Agama Islam sebagaimana peruntukkan Perkara 6 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, berkata pelaksanaan solat Tarawih, sama ada lapan atau 20 rakaat serta Qiamullail dibenarkan sepanjang Ramadan.

Katanya, semua aktiviti seperti majlis zikir, kelas al-Quran, kuliah khas atau umum dan program Ihya Ramadan juga dibenarkan seperti biasa tanpa penjarakan fizikal.

Namun, pihak masjid, surau dan musalla hanya dibenarkan menyediakan sajian

berbuka puasa, moreh dan sahur secara bungkus dan diagihkan kepada jemaah untuk dibawa pulang.

Hanya jemaah yang tidak mempunyai gejala Covid-19 dibenarkan hadir, manakala yang bergejala tidak dibenarkan.

Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, semua jemaah diwajibkan memakai pelitup muka serta diwajibkan membawa sejadah masing-masing dan tidak dibenar bersalam antara satu sama lain.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) masjid, surau dan musalla kekal seperti yang dikeluarkan sebelum ini dan ia selaras dengan pandangan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Pihak MAIK mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan ketetapan ini. SOP hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau dan musalla. Tindakan sewajarnya akan diambil jika gagal mematuhi SOP.

“Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah SWT pasti membantu serta memperkenankan doa dan harapan kita semua,” katanya.

Related posts

Leave a Comment