PICK: Pendaftaran 1.4 juta tak lengkap

PUTRAJAYA 15 Mac – Sebanyak 1.4 juta individu yang sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan menggunakan aplikasi MySejahtera diminta melengkapkan semula pendaftaran masing-masing.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu penting bagi memudahkan urusan khususnya dalam membuat janji temu melibatkan pusat pemberian vaksin yang berhampiran.

Menurut beliau, MySejahtera berdepan kesukaran untuk melakukan janji temu kerana gagal melengkapkan data seperti menjawab soalan berkaitan penilaian kesihatan dan memasukkan alamat terkini masing-masing.

Difahamkan mereka hanya mengesahkan nama dan nombor kad pengenalan tetapi tidak menjawab soalan berkaitan penilaian kesihatan dan memasukkan alamat masing-masing, menyebabkan pendaftaran mereka tidak lengkap.

“Alamat ini penting dimasukkan kerana kita akan beri temujanji di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran dengan alamat yang dimasukkan semasa pendaftaran. Kita tidak ambil alamat pada kad pengenalan kerana ramai yang tidak duduk di alamat seperti dalam kad pengenalan,” katanya pada sidang media mingguan PICK di sini.

Mereka yang berkenaan akan dihubungi melalui SMS mulai petang ini bagi melengkapkan pendaftaran.

Related posts

Leave a Comment