Tiada ujian saringan pintu masuk

KUALA LUMPUR 24 Mac – Pengembara tempatan atau warga asing yang memasuki negara bermula 1 April ini berikutan fasa peralihan ke endemik tidak lagi perlu melaksanakan ujian saringan Covid-19 secara serta-merta di pintu masuk negara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata, pengembara tempatan atau warga asing masih perlu menjalani ujian saringan Covid-19, namun mereka diberi tempoh 24 jam untuk berbuat demikian selepas memasuki negara.

Katanya, pengembara dikehendaki menjalani ujian RTK-Antiten (Ag) profesional, sama ada di fasiliti kesihatan swasta di pintu masuk antarabangsa atau di luar pintu masuk antarabangsa dalam tempoh 24 jam.

Secara amnya di lapangan terbang, tiada lagi keperluan untuk melakukan ujian saringan Covid-19. Kaunter ujian KKM akan ditutup pada 1 April.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) masih ada klinik swasta dan pengembara boleh buat ujian di situ, atau mereka boleh lakukannya di mana-mana klinik di destinasi mereka di Malaysia, dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.

“Pengendali ujian itu akan melaporkan keputusan ujian RTK-Ag itu ke dalam aplikasi MySejahtera,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Khairy berkata, semua pengembara dari luar negara wajib memuat turun dan mendaftar sebagai pengguna MySejahtera sebelum datang ke Malaysia.

Tegasnya, pengembara yang melanggar peraturan dengan tidak membuat ujian Covid-19 dalam tempoh 24 jam, akan diambil tindakan tegas, termasuk berisiko diusir keluar dari Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, kanak-kanak berumur bawah enam tahun (mengikut tahun kelahiran) tidak perlu menjalani ujian pra pelepasan dan ujian semasa ketibaan.

“Ujian RTK-Ag ini mesti dibuat secara profesional kerana ia mesti dimasukkan dalam MySejahtera, dan hanya makmal bertauliah boleh memuat naik data berkenaan.

“Jika pengembara tidak lakukan ujian RTK-Ag profesional dalam tempoh 24 jam, status mereka dalam MySejahtera akan bertukar merah, sekali gus tidak boleh mengunjungi mana-mana premis, selain boleh diusir keluar kerana melakukan kesalahan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment