KUALA LUMPUR 9 Okt. – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing hari ini menjelaskan, perubahan saat akhir penganjur Global Travel Meet 2025 Gala Dinner baru-baru ini, mengundang salah faham dalam kalangan orang ramai, mengakibatkan wujud perdebatan mengenai status penganjurannya.
Beliau mengakui kesilapan pihaknya tidak memaklumkan lebih awal mengenai perubahan penganjur terutama pada acara malam itu, menyebabkan rakyat beranggapan ia anjuran Tourism Malaysia.
King Sing juga memaklumkan pihaknya faham mengenai larangan menghidang alkohol dalam acara rasmi kerajaan di bawah Pekeliling Perbendaharaan WP5.1 (Peraturan Mengenai Keraian Rasmi).
“Kemungkinan kesilapan pada malam itu, sepatutnya saya umum (penganjur sudah bertukar), sekarang (Global Travel Meet 2025 Gala Dinner ) itu bukan (dianjurkan) dari kita (Tourism Malaysia).
“Jadi ada keliru sikit, kesulitan timbul ini amat dikesali. Kita lihat acara (Global Travel Meet 2025) di WTC (Pusat Dagangan Dunia), baru ini kita pun anjur (Persidangan Pelancongan Dunia 2025) di Melaka, kita pun ada majlis sama, ada alkohol di sana? Tiada.
Mana-mana majlis (anjuran kementerian) ada alkohol? Tiada. Kita pun faham larangan menghidang alkohol dalam acara rasmi kerajaan” katanya menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
King Sing menjawab soalan Wan Hassan berhubung garis panduan kementerian bagi memastikan majlis rasmi termasuk yang ditaja pihak swasta atau industri mematuhi Pekeliling Perkhidmatan 3/2003 khususnya larangan menghidang minuman beralkohol dalam program rasmi kerajaan.
Beliau juga mengakui sepatutnya menukar lebih awal ‘backdrop’ di atas pentas utama yang tertera logo dan nama Tourism Malaysia kepada logo penganjur iaitu dari pihak industri dan swasta.
“Saya buat kesilapan kerana logo di sana masih tunjuk (tertera) Tourism Malaysia, bawah (dalam dewan) semua pemain industri. Acara makan malam itu bukan rasmi, ia adalah acara ‘private’. (Jadi) pekeliling tidak terpakai dan isu minimum beralkohol tak sepatutnya timbul.
“Namun saya dan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) dengan penuh tanggungjawab menyesali sebarang kekeliruan atau salah faham yang menimbulkan segala kesulitan. Segala yang timbul amat dikesali,” katanya.
Justeru, King Sing menggesa orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan menghina, membuat tuduhan melulu dan mengheret isu berkenaan ke perdebatan politik.
“Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) bagi nasihat, kita terima. Saya kata, kita jangan ulang main politik, tuduh dan (kononnya) hina orang Islam. Kita tak hina, dalam apa anjuran kita, memang tak ada alkohol di atas meja,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Doris Sophia anak Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai impak Global Travel Meet, King Sing berkata, penganjuran Global Travel Meet 2025 berjaya mengutip nilai jualan pelancongan berjumlah RM420 juta sepanjang tiga hari penganjurannya.
“(Awalnya) kita jangka kemungkinan penganjuran ini boleh dapat RM50 juta, RM60 juta saja kerana ini adalah pertama kali (dianjurkan). Kita jual (pakej pelancongan) kepada antarabangsa.
“Itulah impak rundingan B2B (perniagaan dengan perniagaan) antara penggiat industri tempatan dan syarikat agensi, nilai keseluruhan yang diperoleh adalah RM420 juta,” katanya.
Nnn
