MB Perlis hargai tiada usul tidak percaya

KANGAR 21 April  – Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah menyambut baik kenyataan Perikatan Nasional (PN) negeri bahawa tiada usul undi tidak percaya terhadapnya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis itu yang mewakili Bersatu , berkata sokongan yang diberikan dengan semangat saling menghormati antara parti gabungan PN akan mengukuhkan lagi kestabilan kerajaan negeri.

“Saya berterima kasih atas usaha yang dijalankan oleh PN dan juga Jawatankuasa Pas Perlis yang bermesyuarat semalam, yang membuat keputusan mempertahankan kerajaan negeri PN ini kerana kita perlu saling menghormati.

Bagi saya, saya cukup menghormati keputusan itu demi memastikan kestabilan pentadbiran negeri ini,” katanya ketika ditemui media di Kompleks Seri Putra, di sini hari ini bagi mengulas kenyataan Pengerusi PN Perlis, Shahidan Kassim mengenai pendirian PN negeri.

Mengenai persidangan DUN Perlis yang tertangguh, Abu Bakar berkata, pengumuman tarikh baharu akan dibuat dalam masa terdekat.

Abu Bakar berkata, kedudukan PN Perlis kekal stabil dan gabungan itu meletakkan sasaran besar untuk menyapu bersih semua kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) kelak.

“Sekiranya kerajaan PN Perlis mampu kekal stabil dan rakyat merasai faedahnya, maka pada PRU-16, kita pasti menang semua kerusi DUN iaitu 15-0. Kita tidak akan berikan satu kerusi kepada pembangkang, kita boleh ambil habis semua 15 kerusi DUN,” katanya.

Terdahulu, Shahidan yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri mengesahkan tiada usaha usul undi tidak percaya terhadap kepemimpinan Menteri Besar dan menyifatkan khabar angin mengenai perkara itu sebagai ‘tahyul’.

Katanya, hubungan Pas dan Bersatu kekal akrab, malah Pas Pusat menetapkan pendirian untuk menyokong pentadbiran sedia ada sehingga PRU akan datang.

Ahli Parlimen Arau itu berkata, sekiranya Pas mahu melakukan perubahan pentadbiran, ia tidak perlu melalui usul undi tidak percaya memandangkan mereka sudah menguasai majoriti kerusi di DUN Perlis.

“Semua ini adalah tahyul yang dicatatkan (dijaja) oleh pelbagai pihak. Buktikan pada saya, memang tidak ada pakatan undi tidak percaya (ke atas Menteri Besar),” katanya.

Mengenai tindakan enam wakil rakyat Pas yang tampil menuntut penjelasan berhubung isu penangguhan tersebut, Shahidan berkata, langkah itu dibuat atas kapasiti peribadi sebagai ADUN dan bukannya mewakili pendirian rasmi parti.

“Saya tidak lihat sepenuhnya kenyataan enam wakil rakyat tersebut, tetapi mereka menuntut penjelasan sebagai wakil rakyat yang bertanya, bukan bagi pihak Pas.

“Kita menerima tindakan mereka sekadar ingin mendapatkan penjelasan atas kapasiti itu dan ia sama sekali bukan bertujuan untuk menimbulkan ketidakharmonian di dalam kerajaan PN,” katanya.

Shahidan berkata, beliau juga percaya penangguhan sidang DUN berkenaan dibuat mengikut lunas undang-undang serta peraturan, dan bukannya disebabkan Menteri Besar takut dengan undi tidak percaya.

Media sebelum ini melaporkan, Abu Bakar menafikan penangguhan sidang DUN Perlis yang dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 23 April ini dibuat kerana beliau takut dijatuhkan.

Sebaliknya, beliau berkata, keputusan menangguhkan persidangan tersebut bukan di bawah kuasa mutlak Menteri Besar, tetapi dibuat berdasarkan nasihat tertentu demi kepentingan pentadbiran negeri.

Susulan itu, enam wakil rakyat Pas diketuai ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli bersama Muhammad Azmir Azizan (Santan); Asrul Aimran Abd Jalil (Kayang); Razali Saad (Simpang Empat); Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer) dan ADUN Beseri Haziq Asyraf Dun meminta penjelasan berhubung penangguhan yang disifatkan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Nnn

Related posts

Leave a Comment