Indonesia benarkan mudik lebaran

JAKARTA 24 Mac – Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengumumkan kelonggaran yang membenarkan rakyatnya mudik lebaran (balik kampung) dan mendirikan solat Tarawih berjemaah di masjid tahun ini berikutan situasi Covid-19 yang semakin pulih.

Dalam ucapannya ke seluruh negara semalam, Jokowi bagaimanapun mengingatkan mereka yang ingin mudik lebaran perlu mendapatkan dua suntikan dos vaksin serta satu dos penggalak (booster).

“Bagi masyarakat yang ingin melakukan mudik, dipersilakan, juga diperbolehkan, dengan syarat sudah mendapatkan dua kali vaksin dan sekali booster serta menerapkan protokol kesihatan yang ketat,” kata Jokowi.

Dua kelonggaran itu adalah antara empat langkah terbaharu yang diputuskan Indonesia bagi memulihkan ekonomi negara itu.

Sebelum ini, tradisi pulang atau ‘mudik’ ke kampung di republik itu disekat selama dua tahun berikutan pandemik Covid-19. Begitu juga sekatan solat Tarawih pada bulan Ramadan.

Dengan kebenaran itu, adalah dijangkakan 80 juta orang akan bergerak pulang ke kampung masing-masing  pada musim perayaan itu.

Jokowi juga mengumumkan pembatalan syarat kuarantin bagi pelawat dari luar negara tetapi masih perlu menjalani ujian PCRsebaik tiba di negara itu.

Katanya bagi yang negatif boleh meneruskan aktiviti masing-masing manakala yang positif akan ditangani pihak berkuasa di lapangan terbang.

Di samping itu, Jokowi juga mengumumkan, larangan pejabat awam mengadakan majlis berbuka puasa sepanjang Ramadan ini dan tidak dibenarkan rumah terbuka ketika menyambut lebaran.

“Untuk pejabat dan pegawai pemerintah kita masih melarang untuk melakukan buka puasa bersama dan juga open house,” kata Jokowi.

Jokowi berharap situasi yang ada dapat dipertahankan dan meminta semua orang mematuhi protokol kesihatan dengan menggunakan pelitup muka, kerap mencuci tangan dan menjaga jarak.

Related posts

Leave a Comment