Peningkatan kes harian Covid-19

PUTRAJAYA 23 Mac – Jumlah kes jangkitan baharu Covid-19 menunjukkan peningkatan semalam apabila merekodkan 21,483 berbanding 17,828 kes kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan 4,032,435 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 21,089 kes adalah penularan tempatan dan 394 adalah kes import.

Kes yang dikesan semalam itu paling tinggi membabitkan pesakit dalam kategori dua iaitu 10,862 kes diikuti kategori pertama (10,455 kes), kategori lima (63 kes), kategori tiga (57 kes) dan kategori empat (46 kes).

Dr Noor Hisham memaklumkan 166 kes Covid-19 dalam kategori tiga hingga lima, ia membabitkan 96 kes individu yang mempunyai komorbid serta berusia 60 tahun ke atas (91 kes).

“Selain itu ialah kes individu sudah menerima dua dos vaksin namun tiada dos penggalak (64 kes), masing-masing 51 kes membabitkan individu tidak divaksin atau tidak lengkap vaksin, sudah menerima dos penggalak serta dua kes membabitkan ibu mengandung,” katanya.

Sehingga kini terdapat 339 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 150 kes disahkan Covid-19 serta 189 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

“Bagi kes dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, sehingga kini terdapat 209 kes iaitu 86 kes disahkan Covid-19 serta 123 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu kes sembuh daripada Covid-19 sekali lagi melebihi kes baharu dengan 32,561 kes dilaporkan setakat semalam menjadikan sehingga kini sebanyak 3,745,229 individu sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan berkenaan.

Beliau juga memaklumkan, terdapat empat kluster baharu dilaporkan semalam menjadikan jumlah kluster masih aktif di negara ini meningkat kepada 284 kluster.

Related posts

Leave a Comment