PUTRAJAYA 22 Mac – Kementerian Kesihatan mengeluarkan kompaun kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) pengawalan wabak Covid-19.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi perkongsian di Twitter berkata, kompaun berkenaan dikeluarkan pada 20 Mac dan beliau turut menyertakan bukti kertas saman terhadap Kit Siang.
Khairy membuat perkongsian itu sebagai reaksi selepas Ahli Parlimen Pekan Najib Tun Razak mempersoalkan mengapa Kit Siang tidak didenda kerana berpelukan dengan ahli parti pada Kongres Kebangsaan DAP ke-17 yang berlangsung Ahad lepas.
“Kompaun sudah dikeluarkan kepada @limkitsiang. KKM juga harap @NajibRazak bayar satu kompaun yang dikeluarkan semasa PRN (Pilihan Raya Negeri) Johor yang masih belum settle (dijelaskan).
KKM juga harap @NajibRazak menerima empat lagi kompaun yang dihantar melalui pos daftar yang pegawai DS (Datuk Seri) enggan terima sebelum ini,” katanya.
Sebelum ini, Khairy dilaporkan berkata, KKM mengeluarkan lima kompaun kepada bekas perdana menteri itu atas kesalahan pelanggaran SOP pada PRN Johor.
Semalam Kit Siang disahkan positif Covid-19 oleh Setiausaha Politiknya, Syahredzan Johan.
Veteran DAP itu menjalani ujian RTK-Antigen di Parlimen semalam sebelum melakukan ujian RT-PCR dan disahkan positif Covid-19.
Difahamkan Kit Siang hanya mengalami simptom ringan seperti batuk.
Beliau yang telah menerima dos lengkap vaksinasi serta dos penggalak ketika ini menjalani kuarantin kendiri seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan.
Turut positif, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Sulit beliau, Shukri Saad dalam satu kenyataan semalam.
Katanya, Anwar akan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari mengikut protokol kesihatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
(Keratan akhbar the Sun)
