KUCHING 22 Mac – Solat Jumaat, fardu, sunat, khutbah dan wirid selepas solat dibenarkan tanpa penjarakan fizikal di semua surau dan masjid di Sarawak selaras Fasa Peralihan Endemik seluruh negara mulai 1 April ini.
Dalam kenyataannya, Majlis Islam Sarawak (MIS) bagaimanapun mengingatkan di sebalik kelonggaran yang diberi, prosedur operasi standard (SOP) utama yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19 harus dipatuhi.
Aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti pengajian, kuliah, ceramah, kursus, bengkel, tadarus, tahlil, berbuka puasa, moreh, qiamullail, sahur, iktikaf dan khatam al-Quran juga dibenarkan namun dengan pematuhan kepada SOP penjarakan fizikal.
“Penganjuran aktiviti sosial yang sesuai diadakan di masjid dan surau juga dibenarkan dengan penjarakan fizikal, manakala jamuan dibenarkan mengikut SOP semasa.
Pengurusan dan pengebumian jenazah yang tiada kaitan dengan COVID-19 adalah dibenarkan dengan penjarakan fizikal,” kata kenyataan itu.
Menurut MIS, orang ramai harus menggunakan pelitup muka sepanjang masa, mendaftar kehadiran melalui MySejahtera sebelum masuk ke dalam masjid serta surau dan digalakkan membawa sejadah atau alas sujud sendiri.
Bagaimanapun, individu masih dalam tempoh notis kuarantin Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau yang mempunyai gejala demam, selesema, batuk atau sesak nafas dilarang menghadiri solat dan semua aktiviti lain di masjid dan surau.
Semua SOP Covid-19 hendaklah dipatuhi seperti ditetapkan oleh KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB).
