Dr Kelvin, Rara terajui DAPSY

KUALA LUMPUR 20 Mac – Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen dipilih sebagai Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Sosialis Pemuda DAP (DAPSY) hasil pemilihan yang berlangsung semalam.

Beliau yang menerima 232 undi menewaskan dua pencabar yang lain, Jamaliah Jamaluddin dan Eric Teh Hoong Keat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman (Rara) pula menang bagi jawatan Timbalan Ketua DAPSY Kebangsaan apabila meraih 212 undi.

Rara menewaskan dua pencabar yang lain iaitu Abdul Aziz Isa Marindo dan Alice Lan Suet Ling.

Sementara itu, empat kerusi Naib Ketua DAPSY Kebangsaan adalah oleh G. Annun Nancy, K. Jason Raj, P.S Keristinah dan Teh Swee Leong.

Wayne Ong Chun Wei pula menang pemilihan bagi jawatan Setiausaha DAPSY Kebangsaan.

Kesemua mereka bakal memegang pentadbiran DAPSY Kebangsaan bagi tahun 2021 hingga 2024.

Sementara itu 15 individu turut dipilih menganggotai Majlis Eksekutif Kebangsaan (MEK) antaranya Tan Kim Ping, Woo Kah Leong dan Rachel Teh.

Proses pengiraan undi mengambil masa lebih lima jam selepas proses pengundian melibatkan lebih 400 perwakilan DAPSY yang hadir bermula sekitar pukul 7 petang semalam .

Related posts

Leave a Comment