Semua sudah bersedia, apa seterusnya

SEMALAM, sama ada kebetulan atau tidak,  parti-parti politik berkumpul mengadakan konvensyen atau taklimat. Semuanya bercakap mengenai pilihan raya umum ke-15 (PRU15). Nampaknya semua parti politik sudah bersedia.

Kehangatan PRU15 semakin terasa apabila tarikh pembentangan Bajet 2023 diawalkan pada 7 Oktober berbanding jadual asal 28 Oktober dan khabarnya Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob akan membentangkannya.

Itu petanda PRU akan diadakan pada bila-bila masa dan berdasarkan persediaan parti politik, Ismail Sabri Yaakob boleh sahaja ‘menekan butang PRU’ bila-bila masa tanpa perlu merujuk mana-mana parti politik kerana semuanya sudah bersedia.

Jika dulu apabila disebut PRU, ada nada yang berkata tunggu dulu, tetapi keadaan kini sudah berubah seperti disebut Presiden UMNO, Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam semasa ucapan pada taklimat di Dewan Merdeka, WTC semalam.

Kata Ahmad Zahid, pembangkang sebelum ini seolah-olah menolak untuk diadakan pilihan raya tetapi setelah agenda memenjarakan Najib Razak berjaya dilaksanakan, sudah kedengaran mereka juga mahukan pilihan raya diadakan.

Menurut Zahid, desakan supaya PRU diadakan bukan isu baharu, bukan soal  gilakan kuasa, bukan soal gopoh, gilakan jawatan dan kedudukan tetapi disuarakan UMNO sejurus kerajaan Pakatan Harapan (PH) terbubar dengan sendirinya.

“Kita konsisten menuntut pilihan raya diadakan kerana kita menghormati mandat rakyat.  Kita mahu kerajaan yang mempunyai keabsahan mandat dan bukannnya melalui percaturan politik,” kata Zahid pada Majlis Taklimat Khas Presiden UMNO.

Hakikatnya mood pilihan raya sudah menguasai parti-parti politik sama ada yang menyokong kerajaan atau di pihak pembangkang. Masing-masing yakin untuk turun ke gelanggang PRU walaupun sesetengahnya masih ‘mengemas’ parti.

Singgah di Konvensyen Pilihan Raya PKR di SHAH ALAM semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Harapan (PH) bersedia sepenuhnya untuk mengharungi ‘perang’ setiap lima tahun sekali itu, seawal Oktober ini.

“Pada Oktober, kita sudah bersedia sepenuhnya. Kita akui beberapa kelemahan dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) dan kini kita lihat suasananya sudah berbeza,” kata Anwar pada sidang media selepas konvensyen itu.

Berkunjung di MAEPS Serdang pula, Perikatan Nasional (PN) yang mengadakan Konvensyen PN 2022 turut membincangkan soal PRU15. Walaupun ada yang masih bercakap soal simbol, warna, kerusi, rata-rata mereka sudah bersedia.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin lebih yakin dengan katanya, PN bersedia pada bila-bila masa turun sebagai anak jantan untuk masuk ke gelanggang menghadapi PRU.

Keyakinannya amat tinggi apabila berkata sama ada PRU diadakan tahun ini atau tahun depan, Barisan Nasional (BN) akan kalah malahan kalah lebih teruk jika diadakan tahun ini. Mungkin seteruk yang dialami PN pada PRN Melaka dan Johor.

Begitulah keyakinan Abah walaupun pada sebelah petangnya, Muhyiddin seolah-olah menarik ‘hand brake’, mengajak parti pembangkang lain membuka pintu rundingan untuk menjadikan PRU pertembungan satu lawan satu.

Singgah pula di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Bank Rakyat Kuala Lumpur, di situ Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Dr. Mahathir Mohamad merasmikan Himpunan Nasional Berjasa 2022. Kisahnya juga mengenai PRU.

Bagaimanapun tidak  seperti pemimpin lain, Dr. Mahathir menjangkakan PRU tidak akan diadakan tahun ini kerana parti di dalam kerajaan ketika ini dilihat belum bersedia manakala Ismail Sabri  tidak cenderung mengambil langkah tersebut.

Seperti parti lain, GTA juga yakin mampu memenangi PRU15 akan datang dengan sokongan daripada orang Melayu yang disifatkan semakin baik, sejak penubuhan gabungan tersebut pada awal Ogos lalu.

Begitulah keyakinan dan harapan pemimpin parti politik yang mewakili kerajaan dan pembangkang. Kesiapsiagaan parti-parti politik tidak dapat dinafikan lagi tetapi apa pula episodnya apabila ‘butang PRU ditekan’?

Adakah parti politik yang masih tercari-cari ‘rakan strategik’ akan berubah fikiran bagi mewujudkan kesepakatan yang lebih jitu? Setakat ini gabungan mana yang lebih mantap? Adakah BN, PH, PN atau GTA?

Kesepakatan itu bermaksud bagaimana parti politik dapat menjamin kemenangan yang lebih selesa bagi membentuk kerajaan kerana seperti kata Dr. Mahathir tiada satu parti pun yang mampu memenangi 50 peratus undi pada PRU akan datang.

Pertembungan dua penjuru sudah pasti tetapi ia sesuatu yang sukar, kemungkinan tiga penjuru atau empat penjuru jika landskap politik tidak berubah menjelang PRU. Di atas kertas kita akan melihat pertembungan BN-PN-PH-GTA.

Jumlah ini tidak termasuk parti yang tidak bersama di dalam mana-mana gabungan seperti PBM, Muda dan Warisan.

Sejauh mana ruang empat penjuru itu dapat dikurangkan kepada dua atau tiga penjuru? Amat sukar jika masing-masing mahu bertanding semua kerusi kecuali perubahan fikiran pada saat akhir.

Mana lebih baik gabungan sebelum PRU atau selepas PRU? Adakah parti politik sudah bersedia hilang semuanya atau yang dikejar tidak dapat yang dikendong berciciran?

Related posts

Leave a Comment