DAP : Siapa Setiausaha Agung, siapa CEC Melayu

SIAPA bakal Setiausaha Agung DAP? Siapa pula sembilan wanita yang bakal dipilih sebagai ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat  (CEC)? Dan tidak kurang menarik berapa wakil Melayu akan terpilih sebagai anggota CEC bagi penggal 2022-2025?

Kongres Kebangsaan Ke-17 pada Ahad, 20 Mac akan menjawab persoalan ini apabila 4,149 perwakilan memilih 30 anggota CEC tambahan 10 berbanding 20 kerusi sebelum ini.

Ketika UMNO yang selesai mengadakan Perhimpunan Agung mengambil keputusan menangguhkan pemilihan parti sehingga selepas Pilihan Raya Umum (PRU), DAP meneruskan pemilihan bagi mempersiapkan parti berdepan PRU.

Mengikut perlembagaan parti yang dipinda, jawatan Setiausaha Agung hanya untuk tiga penggal dan Lim Guang Eng tidak lagi berpeluang dilantik semula setelah lebih 17 tahun menyandang jawatan itu.

Setakat ini nama yang disebut-sebut untuk menggantikan Guan Eng adalah Setiausaha Organisasi Kebangsaan Anthony Loke yang dikatakan sudah dilatih dalam parti untuk mengambil alih jawatan berkenaan.

Bagaimanapun mengikut perlembagaan parti, pemilihan jawatan itu akan dilakukan dalam kalangan 30 anggtoa CEC yang memenangi jawatan berkenaan tanpa mengira kedudukan jumlah undi mereka.

Begitu juga dengan pelantikan jawatan utama lain seperti pengerusi, timbalan pengerusi dan naib-naib pengerusi.

Menarik juga pada pemilihan kali ini adalah sembilan jawatan CEC akan diisi oleh wanita dan kali ini daripada 93 calon yang menawarkan diri, sebanyak 18 adalah wanita. Ini bermakna separuh daripada mereka akan terpilih.

Ketika ini CEC wanita adalah Teresa Kok Suh Sim (Timbalan Setiausaha Agung),

Yeo Bee Yin (Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan), Teo Nie Ching (Setiausaha Antarabangsa), Chong Eng dan Jannie Lasimbang.

Dan jika peruntukan 30 peratus kuota untuk wanita itu dilihat melambangkan kepemimpinan yang lebih inklusif gender bagaimana pula dengan komposisi kaum dalam parti yang memperjuangkan Malaysian Malaysia itu?

Ketika ini dua Melayu yang berada dalam barisan kepemimpinan DAP adalah

Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Naib Pengerusi Kebangsaan) dan Zairil Khir Johari (Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan).

Adakah perwakilan akan memberi lebih ruang kepada wakil Melayu menduduki CEC pada kali ini? Sekurang-kurangnya 10 Melayu menawarkan diri termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman.

Selain Zulpuri dan Zairil, turut menawarkan diri adalah Abdul Aziz Bari, Abdul Aziz Isa

Marindo, Azaha Abdul Rani, Muhammad Basar Umar, Sheikh Umar Bagharib Ali, Syahredzan Johan, dan Wan Hamidi Hamid.

Siapa antara mereka akan dipilih? Adakah status sebagai Anggota Parlimen atau ADUN dalam kalangan calon ini akan membantu kemenangan?

Perwakilan sudah tentu mempunyai perhitungan sendiri bagi menggambarkan DAP sebagai parti pelbagai kaum lebih-lebih lagi dalam menghadapi PRU akan datang. Adakah pucuk pimpinan sudah memberi isyarat corak pemilihan kali ini?

Related posts

Leave a Comment