Wanita pertama Ketua Pengarah Jakim

PUTRAJAYA 18 Mac – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mencatat sejarah apabila buat pertama kali, wanita dilantik sebagai Ketua Pengarah yang baharu berkuat kuasa Isnin ini.

Hakimah Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim menjadi wanita pertama dilantik ke jawatan itu.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Mohd Zuki Ali, berkata pemilihan Hakimah menduduki jawatan tertinggi itu adalah berdasarkan perkhidmatannya selama 30 tahun khusus dalam jabatan itu.

“Pelantikan ini menjadi sejarah kepada Jakim, apabila buat pertama kali diterajui oleh wanita, sekali gus meningkatkan pembabitan wanita sebagai pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam.

“Semoga dengan pelantikan ini dapat memacu Jakim ke arah memperkasa peranannya sebagai agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan yang kompetitif serta berdaya saing di peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hakimah menggantikan Abdul Aziz Jusoh yang bersara wajib pada 9 November lalu.

Hakimah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) daripada Universiti Malaya (UM) pada 1990 dan Ijazah Sarjana daripada Universiti Putra Malaysia pada 2001.

Kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam bermula sebagai Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim pada 1992.

Beliau juga sebelum ini menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim.

Related posts

Leave a Comment