PRU15 : PAU wajib dengar suara akar umbi

KUALA LUMPUR 18 Mac – Perhimpunan Agung UMNO wajib mendengar suara akar umbi yang meminta agar mandat baharu diperoleh melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, janganlah guruh berdentum dan kilat sabung-menyabung, namun tidak setitis pun hujan jatuh ke bumi.

“Untuk itu, saya mengharapkan agar kita kembali kepada rakyat. Serahkan semula kepada mereka. Berilah mandat baharu kepada UMNO. Ketika orang sayang kita, sambutlah kasih sayang mereka.

“Jangan ditagih kasih itu selepas ia hilang. Makin bertangguh, makin melaratlah rakyat, makin rosaklah negara,” katanya pada perasmian perhimpunan itu.

Menyentuh mengenai memorandum persefahaman (MoU) politik yang dimeterai kerajaan dan pembangkang, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bagaimanapun menasihati ia berkemungkinan satu strategi lawan untuk melemahkan parti.

Beliau berkata UMNO perlu sedar bahawa lawan-lawan itu tidak pernah berhenti daripada berusaha untuk menghancurkan parti.

“Apabila mereka bersetuju untuk menandatangani memorandum persefahaman, ia bererti mereka ada muslihat tertentu. Saya percaya, mereka menerima kita, kerana mereka tahu itulah cara mereka boleh membunuh kita.

“Actually they never love us. Bacalah perlembagaan setiap parti lawan kita. Sedarlah! Berhati-hati. Mereka menyimpan belati dalam selimut kita. Apakah kita mahu menyambung MoU itu lagi?,” katanya.

Justeru parti menyerahkan hal itu kepada kebijaksanaan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob untuk membuat keputusan berkaitan hala tuju MoU berkenaan.

UMNO sebagai parti yang menjunjung Perlembagaan negara turut memahami bahawa kuasa untuk membubarkan Parlimen adalah keputusan Perdana Menteri.

“Beliau (Perdana Menteri) yang akan berurusan dengan memohon perkenan kepada Yang di-Pertuan Agong. Kita tidak mahu mengganggu urusan itu. Tetapi, UMNO sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, kita ada kuasa untuk menentukan arah tuju parti kita sendiri,” katanya.

Related posts

Leave a Comment