Tok Mail jagalah kerajaan elok-elok

KUALA LUMPUR 18 Mac – “Jagalah kerajaan elok-elok,” kata Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi ketika mengulangi pendirian untuk terus mendukung kepemimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam membangunkan negara.

Berucap di hadapan kira-kira 2,680 perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO hari ini, beliau meminta Ismail Sabri yang juga Naib Presiden parti itu memperkuatkan  kerajaan.

“Datuk Seri Ismail jagalah kerajaan elok-elok, kita beri dukungan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita. Insya-Allah saya dan Tok Mat (Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan) dan rakan-rakan lain, kita akan jaga parti.

“Kami akan perkuatkan parti, (manakala) Tok Mail (Ismail Sabri) perkuatkan kerajaan… kerajaan dan parti harus jalan seiring,” katanya dalam ucapan perasmian perhimpunan itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Katanya selain itu beliau dan seluruh perwakilan UMNO turut merakamkan penghargaan kepada Ismail Sabri di atas pengumuman kebenaran untuk pengeluaran RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Kita bersyukur kepada Allah SWT, akhirnya kerajaan bersetuju untuk membenarkan mereka yang layak mengeluarkan wang simpanan KWSP secara one-off sebanyak RM10,000.

“Kepada Perdana Menteri, saya dan seluruh perwakilan mengucapkan syabas dan tahniah,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata meskipun UMNO bukan parti dominan kerajaan, meskipun pemimpin utama adalah daripada parti, terdapat perkara yang perlu penambahbaikan.

“Biar pun pemimpin utama kerajaan dari UMNO, namun hakikatnya UMNO bukan parti dominan. Dasar-dasar penting biar pun tidak disanggah secara terbuka, namun di belakang, suara-suara sumbang sering kedengaran,” katanya.

“Malah terdapat arahan-arahan dan minit-minit tertentu untuk kepentingan rakyat tidak pun diendahkan. Terdapat skru-skru yang wajib diperketatkan. Longkang-longkang yang tersumbat mesti dibersihkan dari sampah sarap,” katanya,

Beliau juga mengingatka, kerajaan ‘tebuk atap’ atau ‘kerajaan pintu belakang’ tidak perlu dikaitkan dengan UMNO.

“Bukan kita yang tebuk atap, dan bukan kita yang buka pintu belakang. Sampah sarap begini tidak harus dipalitkan kepada UMNO. Kita ada prinsip, kita ada maruah. Kita ada kekuatan. Kita tidak boleh diugut dengan ‘tekan butang di sana dan tekan butang di sini’. UMNO bukan parti picisan. Tidak juga seperti itik patah kaki,” katanya.

Related posts

Leave a Comment