Kes harian Thailand meningkat

BANGKOK 17 Mac – Thailand terus merekodkan peningkatan kes hari ini apabila 25,456 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam berbanding 23,945 semalam menjadikan jumlah keseluruhan 3,276,098 kes.

Jumlah kes harian itu menurut Kementerian Kesihatan Awam menghampiri jumlah tertinggi yang direkodkan pada 26 Februari lalu iaitu 25,615 kes.

Sebanyak 77 lagi meninggal dunia disebabkan Covid-19 ini yang setakat ini jumlah kumulatifnya sebanyak 23,995 orang.

Jumlah kes harian itu tidak termasuk 21,244 kes positif hasil ujian antigen dalam tempoh 24 jam yang jika digabungkan membawa kepada 46,700 kes.

Sebanyak 39 kes import dilaporkan, 54 dalam kalangan penghuni penjara sementara yang lain kes tempatan melibatkan 24,889 kes disahkan hospital dan 474 melalui ujian pengesanan.

Bangkok merekodkan kes tertinggi iaitu 3,703, diikuti Nakhon Si Thammarat 1,688, Chon Buri 1,231, Samut Sakhon 1,108 dan wilayah lain Samut Prakan, Songkhla, Ratchaburi, Suphan Buri, Chachoengsao yang merekodkan lebih 500 kes.

Kes import pula melibatkan ketibaan dari 15 negara termasuk Myanmar, Jerman, United Kingdom, Rusia, Perancis dan Kemboja.

Semalam, sebanyak 22,217 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih sebanyak 3,026,969 orang manakala 225,134 menerima rawatan.

Sejak pandemik bermula awal tahun 2020, Thailand merekodkan 3,276,098 kes termasuk 1,052,663 tahun ini dengan 3,026,969 pulih.

Related posts

Leave a Comment