2,010 kes baharu Brunei Darussalam

BERAKAS 16 Mac – Brunei Darussalam merekodkan lima lagi kematian hari ini, yang dua daripadanya dikategorikan sebagai meninggal dunia disebabkan Covid-19 manakala dua lagi tiada kaitan menjadikan jumlah keseluruhan 86 orang.

Menteri Kesihatan Dr Md Isham Jaafar pada sidang media Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di sini hari ini berkata, ketika ini terdapat 16 kes Kategori 4 memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Manakala tujuh kes pada Kategori 5, yang memerlukan bantuan mesin pernafasan dan dirawat di Unit Rawatan Intensif.

Menurut Dr Md Isham, sebanyak 2,010 kes baharu direkodkan berbanding 2,553 semalam yang membawa kepada jumlah keseluruhan meningkat kepada 118,892.

Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 1,718 adalah hasil pengesanan daripada ujian ART manakala 292 kes lagi adalah hasil daripada 2,501 ujian makmal RT-PCR dalam tempoh 24 jam lalu.

Sebanyak 5,600 kes sembuh dilaporkan hari ini yang membawa kepada jumlah kes pulih 94,774 manakala jumlah kes aktif sebanyak 23,984.

Pada masa ini kata Dr Isham , kadar pengisian di Pusat-pusat Pengasingan di seluruh negara atau ‘bed occupancy rate’ adalah sebanyak 6.4 peratus dengan 224 kes aktif sedang menjalani rawatan di pusat-pusat pengasingan dan hospital.

Katanya, sebanyak 23,760 kes positif sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan, sehingga 14 Mac, sebanyak 59.0 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini menerima tiga dos vaksin, manakala kadar satu dan dua dos masing-masing melebihi 94 peratus.

Related posts

Leave a Comment