Kedah tidak kalut ‘snap election’

ALOR SETAR 16 Mac – Keputusan kerajaan negeri Kedah untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga tamat penggal ini bukanlah disebabkan parti Pas ‘takut’ sekiranya kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, langkah itu bagi membolehkan kerajaan negeri meneruskan kerja pentadbiran serta menguruskan negeri tanpa sebarang gangguan dan ‘percaturan’ politik pihak tertentu.

Muhammad Sanusi turut berharap agar langkah sama diikuti Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk tidak membubarkan Parlimen dan mentadbir kerajaan sedia ada sehingga tamat penggal ini.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mensyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman hari ini, beliau berkata, keputusan tidak bubarkan DUN dan menunggu sehingga penggal berakhir adalah amat relevan.

“Kita ada masa untuk buat kerja, kita tidak kalut dengan ‘snap election’, kita tidak perlu serabut, tunggu penggal habis, (kemudian) bubar,

“PRU15 (juga) tidak perlu diadakan awal, tunggulah habis penggal. Saya cadangkan PRU15 dibuat selepas habis penggal kali ini, bukan salah pun, yang nak buat awal itu yang (ada) masalah (sebenarnya). Kenapa mahu kalut-kalut, tentulah ia ibarat ‘ada udang disebalik mi’,”

Bukan takut), mahu takut buat apa dengan kalah? Ini adat bermain atau berlawan. Kalah bukan tidak biasa, lama dah (sebelum ini Pas) kalah… takut buat apa (dengan) kalah? (Kita) lawan dulu (baru tahu),” katanya.

Pada Selasa, Presiden Pas,  Abdul Hadi Awang berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan dibubarkan sehingga tamat tempoh penggal.

Related posts

Leave a Comment